
Kementerian menegaskan buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah Tingkatan 4 mematuhi “semua proses penerbitan” bagi menjamin kualiti buku, “termasuk ketepatan fakta”.
KPM menjelaskan penerbitan buku teks itu berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM Sejarah Tingkatan 4.
Kandungan DSKP itu pula berpandukan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah KPM (2011-2012).
“Pada 24 Apr 2018, DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah diteliti, disemak dan diperakui sah oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM,” katanya dalam kenyataan.
Panel itu terdiri daripada tujuh pakar sejarah daripada pelbagai pengkhususan dan kaum.
“Pemilihan penulis buku teks pula berdasarkan Tatacara Penerbitan Pakej Buku Teks Dewan Bahasa dan Pustaka dan mengikut kriteria khusus iaitu mempunyai latar belakang pendidikan sejarah serta berpengalaman menulis buku teks Sejarah,” katanya.
KPM seterusnya menjelaskan proses penerbitan buku itu melalui proses mutu yang ketat, merangkumi:
- Pemetaan kandungan
- Penulisan manuskrip
- Penyediaan dan penyemakan pruf muka surat
- Naskhah sedia kamera
- Pemerakuan naskhah sedia kamera
- Naskhah contoh
- Apresiasi kulit buku teks
- Kelulusan naskhah contoh bagi menyediakan naskhah edar
Proses itu juga melibatkan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM, serta Jawatankuasa Peningkatan Mutu Buku Teks, Jawatankuasa Pembaca Luar, dan Jawatankuasa Penilaian Teknikal 4 KPM.
“Bagi mewasitkan fakta tertentu, KPM mendapatkan pengesahan fakta sejarah dan kandungan daripada agensi kerajaan yang terlibat seperti Arkib Negara, Muzium Negara, Persatuan Sejarah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya, dan Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.
Ia juga memaklumkan penerbitan buku teks itu mengikut SOP Penerbitan Buku Teks KPM, yang dikemas kini pada 2018.
Semalam, Pemuda Umno menggesa Kementerian Pendidikan menarik balik buku teks sejarah Tingkatan 4, mendakwa terdapat unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.
Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching pula berkata Pakatan Harapan tidak terbabit dalam semakan buku teks sekolah, menjelaskan ia dijalankan pakar bidang.
Antara pakar terlibat adalah Abdullah Zakaria Ghazali dari Kolej Universiti Islam Melaka, Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia, Ishak Saat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah, Neilson Ilan Mersat dari Universiti Malaysia Sarawak, Rohani Ab Ghani dari Universiti Utara Malaysia, dan Ho Hui Ling dari Universiti Malaya.
Panel itu dipengerusikan Kamaruzaman Yusoff dari Universiti Teknologi Malaysia.