PKP di 7 daerah di Kelantan

PKP di 7 daerah di Kelantan

Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes sebanyak 30.5% di Kelantan dalam tempoh 14 hari.

Sekatan jalan raya akan diadakan di semua sempadan daerah di Kelantan.
PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di tujuh daerah di Kelantan mulai 16 hingga 29 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes sebanyak 30.5% di Kelantan dalam tempoh 14 hari, iaitu daripada 756 kes kepada 1,088 kes dan semua tujuh daerah itu dalam zon merah, selain sembilan kluster baharu dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

“Pelaksanaan PKP ini untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti terbabit dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, Ismail berkata, sekatan jalan akan diadakan di semua sempadan daerah dan negeri itu, tetapi semua sektor ekonomi dan perniagaan yang diluluskan kerajaan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

PKPD

Ismail berkata, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Tanjung Batu Keramat, Kota Belud di Sabah serta Ladang Leepang, Ladang
Laukin dan Kampung Inoi di Muadzam Shah, Rompin di Pahang mulai esok hingga 28 April ini.

Katanya, 17 daripada 25 penduduk di Kampung Tanjung Batu Keramat disahkan positif setakat ini.

“KKM juga memaklumkan berlaku peningkatan kes di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi serta masih terdapat empat sampel ujian sedang menunggu keputusan.”

Di Rompin pula, katanya, 25 kes positif dikesan di tiga lokaliti itu, selain peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu dan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Dalam pada itu, Ismail berkata, PKPD di Kampung Juara, Pulau Tioman, Rompin akan tamat esok, lebih awal daripada jadual selepas 54 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 470 orang.

“KKM mengesahkan semua sampel sudah diambil, kontak
dikenal pasti dan diasingkan, manakala kes terakhir dilaporkan 3 April lalu, iaitu lapan kes.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.