Normal ‘marketing’ tak boleh jalan sekarang, kerajaan perlu permudah proses dalam talian, kata Dr M

Normal ‘marketing’ tak boleh jalan sekarang, kerajaan perlu permudah proses dalam talian, kata Dr M

Kegiatan urus niaga secara dalam talian dan pendigitalan menjadi solusi utama dalam usaha menyelamatkan sektor ekonomi Malaysia yang kian lumpuh.

Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan patut menyediakan kemudahan kepada golongan peniaga yang mahu memasarkan produk secara dalam talian.
PETALING JAYA:
Putrajaya diingatkan supaya memudahkan proses dan urusan pemasaran atas talian yang dilihat lebih sesuai berbanding normal ‘marketing’ yang disifatkan tidak lagi berfungsi pada ketika ini, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ketika perniagaan secara fizikal tidak dapat dilakukan susulan pandemik Covid-19, pemasaran secara dalam talian dapat membantu merancakkan semula aktiviti jual beli.

“Normal ‘marketing’ tidak boleh jalan sekarang, hanya ‘online marketing’ sesuai. Kerajaan perlu permudahkan proses itu. Kerajaan patut usaha mengadakan pemasaran yang mudah kepada mereka yang ingin memasarkan produk mereka di seluruh negara secara ‘online’,” katanya.

Mahathir berkata, di samping membantu ekonomi bergerak melalui penghantaran menggunakan industri gig selain pembayaran dalam talian, ia akan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seterusnya mengawal penularan Covid-19 dengan mengurangkan perjumpaan secara fizikal.

“Sekarang ini kemudahan perhubungan kita boleh jual beli melalui dalam talian, kita boleh jual lebih banyak. Pemasaran dalam talian ini penting untuk menolong kita semasa Covid-19,” katanya dalam forum Reset Malaysia yang disiarkan secara langsung di Facebook, semalam.

Mahathir berkata, kerajaan patut menyediakan kemudahan kepada golongan peniaga yang ingin memasarkan produk mereka secara dalam talian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Mohd Nizam Mahshar dalam forum tersebut berkata, penting untuk mempersiapkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke arah pendigitalan sebagai persediaan menempuh keadaan pasca Covid-19.

“Perancangan pasca Covid-19, bagaimana PKS bangun semula selepas Covid-19? Justeru kita patut mempersiapkan PKS merancang perniagaan mereka selepas pandemik, sebagai contoh, mereka perlu beralih ke arah pendigitalan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.