
Menerusi kemas kini di laman Facebook, DBKL berkata, empat tindakan penutupan premis dilaksanakan di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 melibatkan kedai runcit dan serbaneka yang dijalankan oleh warga asing.
“Dengan kekuatan 21 anggota daripada Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Titiwangsa, kawasan tindakan adalah di Jalan Jejaka 7, Jalan Jejaka 9, Jalan Perkasa 1 dan Jalan Mahkota, Taman Maluri, Cheras.”
DBKL memaklumkan, semua barang sitaan dibawa ke stor rampasan DBKL di Jalan Lombong, Cheras.
Sementara itu, pada hari sama sebanyak 10 premis di Desa Setapak, Wangsa Maju dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh DBKL kerana melanggar peraturan.
“Tindakan sitaan dan membuka struktur telah dilaksanakan oleh 14 anggota penguat kuasa DBKL di Jalan Prima Setapak 2 dan Jalan 14/27B, Desa Setapak, Wangsa Maju.
“Tujuh tindakan sitaan dilaksanakan di bawah Sek 46(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana halangan barangan perniagaan di atas petak parkir dan jalan,” menurut kenyataan itu.
Hasil siasatan mendapati terdapat warga asing yang membuka premis perniagaan dengan menyewa daripada warga tempatan pada kadar RM25 hingga RM35 sehari bergantung kepada keluasan tapak.
DBKL berkata, tindakan itu akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang.
“Warga kota juga diminta terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada DBKL secara dalam talian ke adukl.dbkl.gov.my,” katanya.