Agong tentukan siapa ada sokongan majoriti, bukan anda, PM diberitahu

Agong tentukan siapa ada sokongan majoriti, bukan anda, PM diberitahu

Veteran Umno, Shahrir Samad membidas Muhyiddin Yassin kerana membuat tanggapan tiada pemimpin lain yang mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

Veteran Umno, Shahrir Samad berkata, Muhyiddin Yassin tidak boleh memberikan tawaran bersyarat sebagai dorongan untuk terus menjadi Perdana Menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Muhyiddin Yassin dibidas kerana membuat tanggapan tiada pemimpin lain yang mempunyai sokongan majoriti di Parlimen dengan menegaskan Agong yang akan menentukan perkara itu, bukannya beliau.

Veteran Umno, Shahrir Samad berkata, Yang di-Pertuan Agong yang akan menentukan siapa mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang mendapati Muhyiddin pada dasarnya mengakui hilang sokongan majoriti, berkata Perkara 43 Perlembagaan jelas menyatakan Perdana Menteri perlu meletak jawatan atau menasihatkan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Katanya, tindakan Muhyiddin itu seolah-olah beliau menambah satu lagi peruntukan dalam Perkara 43 bahawa beliau masih Perdana Menteri kerana tiada orang mempunyai majoriti.

“Itu tiada dalam Perlembagaan. Perkara utama ialah beliau hilang majoritinya dan perlu bertindak mengikut Perlembagaan.

“Sebaliknya, beliau memberikan tawaran bersyarat sebagai dorongan untuk terus kekal Perdana Menteri kerana tiada orang mempunyai majoriti, yang merupakan anggapan.

“Anda ada masa untuk memberikan semua tawaran ini, kenapa sekarang? Adakah demi melindungi kedudukan anda, menjadi Perdana Menteri selama setahun lagi? Ia hanya demi kepentingan sendiri,” Shahrir beritahu FMT.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, Muhyiddin masih sangat “terikat” kepada Agong kerana beliau dilantik berdasarkan kepercayaan Agong bahawa beliau mungkin mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Beliau tidak dapat mengelakkannya. Beliau perlu bertanggungjawab atas kehilangan sokongan itu.”

Penganalisis politik, Jeniri Amir berkata, perjanjian dwipartisan Muhyiddin adalah tawaran terbaik yang pernah diberikan kepada pembangkang, walaupun beliau merasakan ia “tidak mencukupi dan terlalu lambat” kerana sepatutnya dilakukan lama dahulu.

Katanya, tidak mungkin pembangkang menerima tawaran Muhyiddin kerana ia dibuat semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan Perdana Menteri itu.

“Jika Anwar Ibrahim menerima tawaran (status menteri kanan sebagai ketua pembangkang), ia membahayakan. Orang akan menganggap beliau lebih berminat dengan jawatan dan kedudukan.

“Saya ingin menekankan ini adalah tawaran sangat baik, tetapi ia sepatutnya dibuat lama dahulu berdasarkan hakikat ketua pembangkang memainkan peranan penting dalam semak dan imbang.”

Bekas ahli akademik, Azmi Hassan berkata, tawaran kerjasama rentas kepartian Muhyiddin tidak betul kerana bertujuan menarik Ahli Parlimen dan menyelamatkan dirinya. Katanya, beliau menjangkakan Ahli Parlimen pembangkang akan menolak tawaran itu.

Katanya, Muhyiddin kelihatan terdesak dengan mendakwa tiada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen lain, yang dengan sendirinya ialah pengakuan beliau hilang sokongannya.

“Mengikut Perlembagaan Persekutuan, apabila Perdana Menteri tiada majoriti, adalah jelas apa yang perlu dilakukan.

“Saya merasakan ahli politik kita di kedua-dua pihak cukup matang untuk membuat keputusan betul berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.