Fokus isu besar, bukan jadikan wanita bahan gurauan, Rina diberitahu

Fokus isu besar, bukan jadikan wanita bahan gurauan, Rina diberitahu

Naib Ketua Wanita Umno Norliza Abdul Rahim berkata Rina Harun yang juga ketua wanita Bersatu perlu lebih fokus kepada polemik yang lebih mendalam.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun, terus menerima kritikan berhubung video tular beliau bersama Rosyam Nor, yang dianggap merendah-rendahkan wanita.
PETALING JAYA:
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun diingatkan supaya lebih fokus kepada isu penting kanak-kanak dan wanita, tidak hanya bertindak selepas sesuatu perkara menjadi tular.

Menyentuh video terbaru menteri itu yang dianggap merendah-rendahkan wanita, Naib Ketua Wanita Umno Norliza Abdul Rahim, berkata Rina yang juga ketua wanita Bersatu perlu lebih fokus kepada polemik yang lebih mendalam.

Menurutnya, masih timbul persoalan berhubung tindakan sudah diambil Rina contohnya dalam isu Bella, remaja orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down didakwa didera di rumah perlindungan.

“Isu kanak-kanak dan wanita yang banyak hari ini terutamanya gangguan seksual dan keganasan rumah tangga perlu menjadi fokus utama sepatutnya,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular video dimuat naik Rina di media sosial, memaparkan pelakon dan usahawan, Rosyam Nor, yang menyebut wanita sebagai “suka bangun lambat”, sambil disaksikan beliau dan pegawainya.

Rosyam, yang mengajak orang ramai menghadiri Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula hari ini, turut berkata akan “membelasah” mereka yang berjumpanya.

Mengulas lanjut, Norliza menasihatkan Rosyam supaya menggunakan bahasa lebih indah dan tidak merendah-rendahkan wanita seperti dilakukannya dalam video terbabit.

“Nampak seperti isu kecil tetapi hati wanita ini mudah tersentuh. Benar jika wanita merajuk siapa yang akan pujuk tetapi kalau sudah tawar hati, wanita juga punya harga diri. Berhentilah menjadikan wanita sebagai bahan gurauan,” katanya.

Tindakan Rina dan Rosyam itu turut dikritik wakil rakyat wanita antaranya Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said yang secara sinis mencadangkan kementerian terbabit membuang perkataan “wanita” susulan penularan video yang dianggap merendah-rendahkan wanita.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh yang juga bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata, beliau sedih melihat agensi dan kumpulan sasar di bawah kementerian itu dipergunakan Rina untuk tujuan promosi.

“Cukuplah tiga tahun menjadikan kementerian ini sebagai bahan gurauan. Saya sedih melihat agensi, pegawai kerajaan dan kumpulan sasar kementerian digunakan seperti ini.

“Kalau Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob betul-betul serius mengenai perjuangan Keluarga Malaysia, gugurkanlah menteri sebegini yang memperlekehkan peranan wanita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.