Usaha Muda kerjasama dengan PH tidak dihiraukan, kata Syed Saddiq

Usaha Muda kerjasama dengan PH tidak dihiraukan, kata Syed Saddiq

Muda dakwa tiga surat untuk bertemu PH tidak dilayan dan diperlekehkan Ketua Setiausahanya Saifuddin Nasution Ismail.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau cuba menghubungi Perdana Menteri Anwar Ibrahim malangnya tiada sebarang maklum balas. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Anggapan Muda “terlalu gopoh” memutuskan bertanding solo pada PRN disifatkan tidak berasas, dengan presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa cubaanya bekerjasama dengan pentadbiran Anwar Ibrahim sebelum ini tidak diendahkan.

Membalas kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Muar itu berkata mereka telah menghantar tiga surat untuk mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH), namun diperlekehkan apabila Ketua Setiausahanya Saifuddin Nasution Ismail berkata “beliau tidak ada masa untuk membaca surat berkenaan”.

“Anggapan bahawa Muda ‘tergesa-gesa’ dan enggan bekerjasama dengan Anwar adalah tidak berasas.

“Secara peribadi saya telah cuba menghubungi perdana menteri dan pegawainya dengan pelbagai cara sama ada di dalam Parlimen, di luar Parlimen, melalui pesanan teks, dan sebagainya. Malangnya, tiada maklum balas,” dedah Syed Saddiq.

Semalam, Lim menggesa Muda tidak gopoh dalam membuat keputusan bertanding solo pada PRN sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, kepimpinan Muda mesti mempertimbangkan semula keputusannya demi kepentingan negara dan rakyat di enam negeri itu.

Muda sudah memohon menyertai PH sebelum PRU15 November lalu, tetapi belum ada perkembangan mengenai perkara itu, atau rundingan kerusi bagi enam PRN akan datang.

Kelmarin, Syed Saddiq mengumumkan Muda akan bertanding secara solo pada PRN, mewujudkan pertembungan dengan PH dan BN walaupun ketiga-tiganya adalah sebahagian daripada blok kerajaan di Dewan Rakyat.

Beliau turut menyelar kepimpinan Anwar yang gagal menunaikan janji- PRU antaranya tidak melantik ahli politik mengetuai GLC dan memisahkan portfolio perdana menteri dengan menteri kewangan.

“Tolong jangan melaungkan ‘kedaulatan undang-undang’ sebelum pilihan raya, tetapi terus berdiam diri apabila berkuasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.