
Panel tiga hakim diketuai Hadhariah Syed Ismail turut memerintahkan Mohd Azhud Ibrahim, 33, disebat sebanyak 12 kali.
Turut bersidang Azmi Ariffin dan S M Komathy Suppiah.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Azhud untuk mengetepikan sabitan terhadapnya dalam kes itu.
Dalam penghakimannya, Hadhariah berkata keterangan mengikut keadaan menunjukkan bahawa Azhud telah membunuh Ahmad Azam Ahmad.
Azhud mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 Feb 2023 yang menjatuhi hukuman mati terhadapnya kerana membunuh Azam, 43, di sebuah rumah di Lorong Mohd Ali Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak pada 12.10 tengah malam 10 Ogos 2018.
Mengikut fakta kes, seorang rakan tertuduh yang pergi ke rumah itu tercium bau busuk dan dimaklumkan oleh Azhud bahawa ada orang mati.
Individu itu berkata Azhud telah berkata “Aku bengang dah lama dengan dia ni. Aku runsing.”
Semasa memberi keterangan kepada mahkamah dari kandang tertuduh, Azhud mendakwa dia tidak berniat membunuh mangsa selepas mereka terlibat dalam pergaduhan.
Tertuduh mendakwa dia terpaksa memukul Azam bagi melindungi dirinya kerana mangsa bertindak agresif.
Azhud mendakwa selepas itu, dia telah menghisap ganja serta tertidur selama dua hari dan selepas bangun, tertuduh melihat mangsa terbaring kaku di atas lantai dan tidak lagi bernafas.
Tertuduh berkata dia ingin menggali lubang di belakang rumah itu bagi mengebumikan jasad Azam namun tidak sampai hati untuk berbuat demikian.
Jadi, dia membuat keputusan untuk tinggal bersama mayat mangsa.
Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami 23 kecederaan luaran serta parah di bahagian kepada dan dada.
Peguam Gurbachan Singh, Gobindeep Singh dan Aashwini Rajan mewakili Azhud manakala Timbalan Pendakwa Raya Zaki Ashraf Zubir hadir bagi pihak pendakwaan.