Netizen usik Ebit panggil ‘ayah’

Netizen usik Ebit panggil ‘ayah’

Ekoran melihat gambar Ebit Lew bersama anak perempuannya, telah mencuri perhatian netizen sehingga ramai yang memanggilnya ayah.

Ebit Lew bersama anaknya, Safiyyah dan komen lucu dari netizen. (Gambar Facebook)

Sebut saja nama Ebit Lew, pasti seluruh rakyat Malaysia tahu mengenai diri pendakwah bebas yang berjiwa pemurah apabila sering membantu sesiapa saja dalam kesusahan.

Kisahnya yang membantu golongan susah terdiri daripada pelbagai latar belakang pasti mengundang rasa gembira dan bangga netizen kerana sifatnya itu bukan dimiliki oleh semua orang.

Bagaimanapun baru-baru ini, bukan kisah seperti itu yang mencuri perhatian netizen, tetapi mengenai anak perempuannya yang bernama Airis Safiyyah Lew.

Di mana, Ebit telah memuat naik gambar swafoto bersama anak sulungnya itu di akaun Facebooknya selepas diminta berbuat demikian oleh Safiyyah.

“Selalu pergi mana-mana orang ajak selfie. Ini Safiyyah Lew ajak selfie. Selamat Hari Raya anakku. Apa misi ayah lepas ni? Ayah mesti penatkan? Ayah rehatlah sikit. Kasihan ayah.

“Doakan ya anakku. Ayah buat semua ini cuma kerana ingin menunjukkan sikit rasa syukur pada Allah.

 

“Terima kasih pada Allah. Daripada kecil sampai sekarang dia dengar doa ayah. Tidak berhenti buat baik pada kita. Yang beri semuanya. Tiada kita punya. Semuanya milik Allah,” tulisnya.

Namun, hantaran terbaru penceramah itu telah sekali gus menyebabkan akaun Facebooknya dibanjiri dengan pelbagai komen lucu netizen yang cuba ‘mengusik’ anak perempuannya.

Difahamkan, usia Safiyyah baru saja mencecah 12 tahun.

Kebanyakan netizen mengambil kesempatan dengan melontarkan komen nakal dan mengusik Ebit. Tidak kurang juga yang menawarkan diri untuk menjadi menantu Ebit Lew dengan memanggilnya ‘ayah’.

“Saya tahu ayah penat. Saya tahu peritnya dugaan yang ayah hadapi. Tengok mata ayah pun sudah tahu ayah letih. Ayah rehatlah. Biar saya ganti ayah jaga Safiyyah. Selamat Hari Raya ayah,” tulis seorang netizen.

Manakala seorang lagi netizen sempat meninggalkan komen lucu sambil mendakwa dia bermimpi bahawa bapa mentuanya menyerupai wajah Ebit Lew.

“Malam tadi mimpi ayah mentua muka sama mcm ustaz…hmm,” tulisnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.