Robot bantu kanak-kanak autism tingkat kemahiran sosial

Robot bantu kanak-kanak autism tingkat kemahiran sosial

Dua robot kecil diberi peranan mengikut senario tertentu untuk membantu kanak-kanak autism meningkatkan kemahiran sosial.

Tutor kanak-kanak autism, Sarah Ng menggunakan robot untuk mengajar kanak-kanak berkeperluan khas berusia lima tahun di Hong Kong. (Gambar Reuters)

Seorang profesor di Hong Kong berjaya membangunkan sebuah program pendidikan menggunakan robot untuk membantu golongan autism meningkatkan kemahiran sosial mereka.

Robot terbabit akan memainkan peranan tertentu untuk membantu mereka berinteraksi dan program itu sebenarnya adalah sebahagian daripada inisiatif oleh pertubuhan bukan kerajaan dan sekolah.

Program dikenali sebagai Robot for Autism Behavioral Intervention (RABI) itu direka untuk golongan autism berusia antara tiga hingga 18 tahun bagi membantu mereka bersosial dan menangani pelbagai konflik serta masalah buli.

Profesor Madya Psikologi Pendidikan di Chinese University of Hong Kong, Catherine So berkata, sehingga kini terdapat lebih 1,200 kanak-kanak sudah menggunakan program itu sejak dilancarkan pada 2015.

“Individu yang mengalami autism mempunyai tahap motivasi yang rendah untuk berinteraksi dengan orang lain dan amat sensitif dengan persekitaran mereka.

“Jadi, kami menggunakan robot sosial ini untuk mengajar mereka mengenai kemahiran bersosial bagi mengurangkan keresahan,” katanya.

Robot terbabit akan diberi peranan sambil berkomunikasi dengan kanak-kanak itu.

Menerusi setiap sesi kelas, terdapat dua robot kecil yang akan berlakon dalam senario tertentu untuk membantu kanak-kanak autism membezakan antara kelakuan baik atau sebaliknya seperti menjerit dan mengamuk.

Selepas itu, mereka akan diminta mencuba kemahiran sosial itu dengan tutor manusia sebagai latihan.

Seorang ibu, Muse Wong, 41, berkata, anaknya yang berusia lima tahun mengikuti program itu sejak tujuh bulan lalu dan kemahiran komunikasi dan sosialnya menunjukkan perubahan baik.

“Dia sudah mula memahami apa itu kehidupan bersosial,” katanya.

Sehingga kini, terdapat lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan dibiayai kerajaan dan sekolah kerajaan di Hong Kong dan Macau menggunakan program berkenaan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.