TPPA vs RCEP: Kenapa perlu memilih?

TPPA vs RCEP: Kenapa perlu memilih?

Langkah memilih hanya salah satu daripada peluang yang tersedia – sama ada TPPA mahupun RCEP – bukanlah langkah rasional bagi negara yang berposisi relatif kecil dan strategik seperti Malaysia.

malaysia,china,us

 Oleh Abdul Muein Abadi

Permulaan Empayar Melayu Melaka sering dikaitkan dengan kisah sang pelanduk yang bijak mengalahkan anjing pemburu milik Sultan pada waktu itu. Meskipun tiada bertaring, sang pelanduk memiliki senjata upaya memanipulasi momentum lawan yang lebih berbahaya, hingga akhirnya berjaya menyelamatkan dirinya.

Malah sejak dari era penubuhan hinggalah ke era peluasan kuasa, Empayar Melaka turut menzahirkan keupayaan yang serupa. Kepimpinanya bijak dalam percaturan imbangan kuasa (balance of power) antara kuasa-kuasa besar serantau pada zamannya seperti Majapahit, Siam, dan China demi menjamin kedaulatan wilayahnya.

Selepas merdeka dari belenggu penjajahan, Malaysia turut mempraktikkan kebijaksanaan percaturan imbangan kuasa yang serupa – dari penyertaan dalam Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa (FPDA) dengan British, Perjanjian Latihan dan Konsultasi Bilateral (BITAC) dengan Amerika Syarikat (AS), hinggalah kerjasama bersejarah yang terkini dengan China menerusi Kerjasama Perkongsian Strategik Komprehensif.

Malaysia malahan merupakan satu-satunya negara Asia Tenggara yang menjalankan latihan ketenteraan bilateral dengan China sejak 2014. Sebagaimana kisah sang pelanduk tadi, meskipun bersaiz relatif kecil, Malaysia masih berhasil mempertahankan kedaulatan wilayahnya dari campur tangan kuasa-kuasa besar – sejak era Perang Dingin hinggalah ke era persaingan AS-China pada masa kini.

Dalam mengharungi era persaingan AS-China kini, kedengaran suara-suara kritis yang menyeru agar Malaysia memilih untuk berpihak. Pada satu sisi, terdapat seruan agar Malaysia menolak daripada menyertai perjanjian yang ada hubungkait dengan AS, dan bersekutu dengan China – demi menamatkan hegemoni oligarki yang dianggap menerajui Washington.

Pengikut pandangan ini lantas menyeru Malaysia agar menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebaliknya fokus merapatkan hubungan dengan Beijing menerusi Perjanjian Kerjasama Regional Komprehensif Serantau (RCEP). Pada sisi yang lain, terdapat pula seruan agar Malaysia menjauhi diri dari China dan mengukuhkan hubungan dengan AS menerusi TPPA – sebahagian besarnya dipengaruhi oleh faktor peningkatan tindakan agresif Beijing dalam isu pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Tindakan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLAN-PRC) serta pasukan pengawal pantai mereka menceroboh wilayah perairan negara yang berhampiran dengan Bintulu, Sarawak sejak 2013 telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan nelayan tempatan dan juga para pemerhati ketenteraan tanah air.

Tidak dapat dinafikan, kedua-dua pandangan ini memiliki merit masing-masing yang tersendiri. Namun, terdapat faktor besar yang perlu diambil kira dalam sebarang pembuatan keputusan yang melibatkan hubungan diplomatik dan strategi dengan negara-negara yang berstatus kuasa besar seperti China dan juga AS. Malaysia sebagai sebuah negara relatif kecil yang berdaulat, bukan sahaja kekurangan dari segi luas wilayah, bahkan juga dari segi sumber-sumber dan juga jumlah populasi. Realiti inilah yang mendorong Malaysia untuk mengambil pendirian berkecuali – melalui prinsip Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN) sejak 1971 – demi melangsungkan hubungan dagang dengan mana-mana negara lain tanpa belenggu komitmen pakatan yang memihak.

Pendekatan inilah yang telah membolehkan Kuala Lumpur mengadakan hubungan diplomatik dengan ketiga-tiga kuasa utama pada era Perang Dingin – AS, Soviet, dan China – disamping memesatkan hubungan dagangnya dengan negara-negara lain di seluruh dunia. Hasilnya, berbeza dengan sebahagian negara-negara jiran yang mengambil pendirian berpihak pada era perang dingin, Malaysia terus berkembang maju memanfaatkan peluang yang tersedia sama ada di Blok Timur mahupun di Blok Barat.

Demikian juga halnya dalam menilai potensi yang terhidang menerusi TPPA dan RCEP. Sebagaimana menurut analisis kos-faedah Pricewaterhouse Coopers (PwC) Disember lalu, Malaysia bakal memperoleh dapatan sebesar USD200 bilion dalam tempoh sembilan tahun pelaksanaan TPPA. Peluang pertumbuhan pelaburan dan akses pasaran yang jauh lebih mudah di bawah TPPA – 90 peratus pengurangan tarif dari AS, 95 peratus dari Kanada, 77 peratus dari Mexico, dan 81 peratus dari Peru – akan membawa kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia melonjak dari USD107 bilion kepada USD211 bilion dari tahun 2018-2027.

Berbeza dengan TPPA yang dianggotai 12 negara, RCEP pula melibatkan rundingan yang masih berlangsung antara 16 buah negara – dengan China dan India sahaja sudah pun menyediakan pasaran sebesar 2 bilion populasi. Akumulasi nilai penyertaan dalam RCEP juga adalah melibatkan 40 peratus nilai dagangan dunia. Dari segi integrasi pula, selain melibatkan kesemua 10 negara anggota ASEAN, RCEP turut melibatkan kuasa utama Asia Timur – China, Jepun, dan Korea Selatan – di samping Australia dan New Zealand di selatan Pasifik.

Melihat kepada potensi besar yang disediakan oleh kedua-dua platform perdagangan multilateral ini, adalah penting untuk Malaysia mengambil tindakan persis sang pelanduk yang bijak dalam percaturan geopolitik kini dan masa hadapan. Langkah memilih hanya salah satu daripada peluang yang tersedia – sama ada TPPA mahupun RCEP – bukanlah langkah rasional bagi negara yang berposisi relatif kecil dan strategik seperti Malaysia. Jika kita berjaya mengharungi Perang Dingin dengan pendirian berkecuali, mengapa tidak kita mengambil pendirian yang sama dan menerima kedua-dua TPPA dan RCEP?

Abdul Muein Abadi merupakan Pensyarah Program Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dari pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.