Akhirnya Datuk, Datuk Seri palsu ‘dibunuh’

datuk-palsu

Akhirnya kerajaan bertindak memerangi penyakit darjah kebesaran syok sendiri atau DKSS ini dengan meminda undang-undang khusus mengenai perkara itu.

Kita baca, nama undang-undang yang dipinda itu ialah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman cakap, mesyuarat Kabinet semalam ambil maklum isu penganugerahan yang semakin berleluasa terutamanya yang membawa gelaran.

Syukurlah, kerajaan peka dan prihatin dengan perkara ini sebab ia membabitkan maruah Raja-Raja dan kedudukan orang Melayu serta seluruh rakyat Malaysia.

Baru-baru ini, orang yang dekat dengan istana dan balai pemerintah negeri-negeri Melayu ada beritahu kita mengenai pandangan Raja-Raja berhubung DKSS ini.

Difahamkan, Raja-Raja sudah lama perhatikan perkara ini dan memendam rasa mengenai sikap perangai manusia tidak tahu malu dan gila gelaran pangkat ini.

Lagi sakit hati ada orang yang sanggup belanja ribuan, malah ratusan ribu hanya untuk peroleh gelaran dan pangkat ini.

Darjah kebesaran dan gelaran ini semacam dibuat main-main pula, sedangkan Raja-Raja memikul amanah yang besar dengan memberikannya hanya kepada yang benar-benar layak.

Pindaan undang-undang berkenaan penting supaya mereka yang tidak bertanggungjawab yang mungkin mempunyai agenda tertentu dapat diambil tindakan.

Kita fikir, Majlis Raja-Raja tidak mempunyai masalah dengan pindaan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

Kerajaan Persekutuan hari ini yang dilantik oleh Raja-Raja selaku pentadbir negara sudah menjalankan tugas dalam perkara ini dengan baik.

Selepas rang undang-undang pindaan itu siap dan dibentangkan kelak, maka tugas ahli Parlimen pula untuk meluluskannya.

Ingat, Raja-Raja adalah tiang utama kepada negara ini mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kita perlu setia kepada mereka.