Lim Kit Siang, henti permainkan rakyat

Lim Kit Siang, henti permainkan rakyat

Pemimpin DAP ditanya mengapa Amerika Syarikat, China dan India mahu terlibat dengan Malaysia, sekiranya benar kita sebuah negara gagal dan negara penyangak.

kit-siang

Oleh Sofia Zulkarnain

Bukan selalu kita berpeluang untuk mendengar pimpinan DAP mengakui mereka sanggup bekerjasama dengan pimpinan UMNO. Lebih mengejutkan apabila kesanggupan itu disuarakan oleh bapa pembangkang – Lim Kit Siang yang hebat.

Dalam muatnaik blognya pada 14 Februari 2016 lalu, Lim Kit Siang menghulur tangannya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin lalu mengajak beliau menyertai kempen “Selamatkan Malaysia” yang sedang digerakkannya. Perilaku romantis itu secara kebetulannya jatuh pada Hari Kekasih, dan sememangnya ia langkah yang menghairankan.

Secara tiba-tiba Lim Kit Siang mengusulkan bahawa beliau sedia berlaga bahu dengan Timbalan Presiden UMNO itu, lelaki yang pada suatu ketika dituduh telah hilang arah pandu akhlaknya dan tidak layak memimpin negara ini; dan Kit Siang mengatakan sedemikian tahun lalu. Ah, pantasnya musim berubah. Barangkali benarlah musuh kepada musuh itu seorang kawan.

‘Selamatkan Malaysia’ merupakan ungkapan menarik yang memikat sentimen politik rakyat kebanyakan. Kempen itu bertujuan mengembleng rakyat pelbagai latar belakang untuk bersama menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara gagal (failed state) atau negara penyangak (rogue nation).

Mulia sungguh perjuangan Lim Kit Siang.

Namun siapa yang dapat menduga apakah erti sebuah negara gagal atau negara penyangak?

Lim Kit Siang tidak pernah menjelaskannya. Cukup baginya sekadar mengatakan bahawasanya untuk kita selamatkan Malaysia, maka kita perlu:

– Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat 1MDB dan derma politik

– Orang-ramai perlu menentang cadangan Peguam Negara meminda Akta Rahsia Rasmi bagi menghukum wartawan dan pembocor maklumat

– Peguam Negara mengugurkan semua pendakwaan hasutan terhadap pimpinan pembangkang

Sekilas pandang, tuntutan itu senada nurani rakyat. Namun apabila disingkap pelbagai soalan menerjah mempertikaikan apakah tuntutan-tuntutan itu didorong politik dan mementingkan politik sendiri semata-mata?

Benar apa yang beliau katakan. Malaysia kini buruk rupanya namun apakah itu bermakna kita menuju sebuah negara gagal? Jauh sekali.

Lagipun, kita negara yang sedang dibangunkan, tetapi dengan adanya kepimpinan nasional samada daripada kerajaan atau pembangkang melaung-laungkan Malaysia negara gagal dan perlu diselamatkan, ia tidak menyumbang kepada usaha memajukan negara.

Lim Kit Siang dan rakan-rakannya dalam kepimpinan Pakatan Harapan perlulah lebih membina. Sekiranya benar kita sebuah negara gagal, apa rancangan kamu untuk membaiki keadaan ini? Kita belum terdengar apa-apa cadangan yang nyata daripada mereka.

Saya tidak nampak bagaimana menggugurkan semua pendakwaan hasutan terhadap pimpinan pembangkang mampu selamatkan ekonomi Malaysia atau membantu rakyat kita menangani kos sara hidup yang tinggi. Malah, ketidaktentuan itu boleh membawa ekonomi negara menjadi lebih rapuh.

Mari kita lihat realiti situasi hari ini dan menilai kedudukan kita sebagai sebuah negara:

– Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bertambah daripada RM528 bilion pada 2009 kepada RM877 bilion pada 2015 melalui pelbagai inisiatif dibawah Program Transformasi Ekonomi (ETP)

– Ekonomi berkembang daripada 1.9 peratus pada 2009 kepada 6 peratus pada 2014 di kala kelembapan ekonomi sejagat serta cabaran-cabaran lain

– Malaysia dijangka mencatatkan pertumbungan antara 4.5 dan 5.5 peratus pada 2015

– Kadar pengangguran menurun daripada 4.5 kepada 3.0 peratus dengan 1.8 juta pekerjaan baharu tercipta

– Pendapatan per kapita meningkat daripada RM24,541 kepada RM33,572, manakala defisit fiskal menurun daripada 6.7 kepada 3.2 peratus

Berdasarkan pentunjuk-petunjuk diatas, kita boleh beranggapan bahawa Lim Kit Siang memperbesar-besarkan dakwaan berhubung keadaan negara.

Ini kerana sebuah negara penyangak tidak akan peduli mencipta 1.8 juta pekerjaan baharu atau menurunkan kadar pengangguran. Bahkan, keadaan kita lebih baik daripada negara-negara jiran, menguja minat pelabur asing pada kita.

Mengapa pula ekonomi-ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat, China dan India ambil peduli dan mahu melibatkan diri dengan kita, sekiranya benar kita sebuah negara gagal/negara penyangak?

Lim Kit Siang, henti permainkan rakyat.

Sofia Zulkarnain merupakan pembaca FMT

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.