Bapa demo: Jangan lupa Umno juga lahir daripada demo

demokrasi

Oleh Khairul Naim Rafidi

Terkejut juga hari ini membaca pengakuan seorang hulubalang kanan yang beliau merupakan “bapa demo”.

Mungkin “kaki demo” seperti Isham Rais, Adam Adli, Syukri Razab, Safwan Anang, malah Anwar Ibrahim juga akan terkejut dengan kenyataan seperti ini.

Beliau dengan yakin menegaskan pengalamannya suatu ketika dahulu sebagai “bapa demo” yang memimpin protes jalanan membuatkan beliau sedar demonstrasi merupakan perkara sia-sia dan tidak berguna. Beliau juga dengan yakin percaya demonstrasi tidak mampu menyelesaikan masalah dalam negara ini.

Dengan hormat, saya berpendapat hulubalang ini tersilap. Dalam beberapa keadaan, mungkin benar demonstrasi adalah suatu tindakan yang tidak dapat menyelesaikan masalah.

Kata-kata saya ini usah diambil secara harfiah, “tidak menyelesaikan masalah” yang saya maksudkan adalah sesuatu masalah itu tidak dapat diubati dan diselesaikan serta-merta hanya dengan demonstrasi.

Namun begitu, sebagai hulubalang kanan, saya menganggap tanggapan demonstrasi adalah perkara sia-sia sebagai suatu pandangan radikal. Adakah hulubalang ini lupa parti kesayangannya juga lahir daripada aksi demonstrasi ketika menentang Malayan Union dahulu?

Pandangan seperti ini juga sama seperti menganggap undang-undang yang tercatat di dalam Perlembagaan Persekutuan itu adalah dokumen kosong, sia-sia dan tidak bernyawa.

Sebagai hulubalang kanan, beliau seharusnya tidak memperkecil dan merendah-rendahkan hak rakyat seperti di dalam perlembagaan. Malah, ia seharusnya disebut dan digalakkan memandangkan ia adalah aksi yang sah di sisi undang-undang.

Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi dalam negara ini harus diangkat dan bukan “dihina” secara senyap seperti ini. Ia harus terus didedah dan dijelaskan kepada khalayak ramai.

Saluran yang betul

Sejak menuntut program pra undang-undang (pre-law) di Kuantan dahulu, saya juga sering didendangkan dengan perkataan “gunakanlah saluran betul”.

Sehingga kini, saya belum mendapat penjelasan tentang maksud sebenar “saluran betul”.

Saya sering diingatkan tentang hal tersebut kerana pada waktu itu, sebagai pemimpin mahasiswa di kampus Kuantan, ucapan dan tulisan saya disalah tafsir sesetengah individu dan dianggap sesuatu yang radikal.

Tambahan, memegang jawatan Setiausaha Agung Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) yang dianggap sebagai “front radikal” ketika itu menjadikan nasihat “gunakanlah saluran betul” sebagai sesuatu yang utama.

Di usia sangat muda, saya terus tercari-cari maksud “saluran betul itu”. Adakah melalui parti kerajaan? Atau jalan yang mana satu ini? Pernah juga saya bertanya, tetapi sehingga kini saya masih tidak menemui jawapannya. Saya kecewa.

Hulubalang negara seharusnya baca dan hayati undang-undang

Hulubalang negara ini seharusnya lebih faham undang-undang dalam negara supaya tidak “menyesatkan” minda rakyat.

Hal ini penting supaya rakyat tidak terus ditipu atau dalam bahasa lebih molek, mungkin sahaja tersilap mendapat maklumat.

Misalnya, kita ambil isu popular dan mudah seperti isu demonstrasi.

Pernah sahaja digembar-gemburkan demonstrasi merupakan sesuatu yang tidak bertamadun dan menghancurkan negara. Hal ini sepatutnya diterangkan pihak berwajib secara matang, rasional dan munasabah.

Ia bergantung kepada keadaan. Dalam konsep undang-undang sendiri, sama ada sesuatu tindakan itu salah atau tidak, kemunasabahannya (reasonablesness) harus dipertimbangkan terlebih dahulu. Di sini, pengetahuan undang-undang yang jitu amat diperlukan dan tidak boleh hentam sahaja.

Contoh lain, lihat sahaja isu notis sebelum mengadakan perhimpunan menurut Akta Perhimpunan Aman. Temenggung negara terus sahaja mendesak rakyat yang ingin berdemonstrasi supaya memberikan notis dan tindakan akan dikenakan sekiranya ia gagal dipatuhi.

Bukankah dalam kes Nik Nazmi Nik Ahmad v Public Prosecutor [2014] 4 MLJ 157 menyebut tentang prinsip kegagalan memberi notis dalam tempoh tertentu tidak menyalahi undang-undang?

Selain itu, sekatan yang dikenakan juga harus munasabah dan perhimpunan yang aman itu merupakan hak paling asas di dalam perlembagaan.

Mengapa prinsip undang-undang yang diputuskan mahkamah ini tidak diambil kira pihak berkuasa? Bukankah tindakan mengulangi hal sudah selesai seperti ini hanya akan “menyesatkan” rakyat dan membuatkan orang yang tahu mentertawakan pihak berkuasa yang sepatutnya dihormati?

Kesimpulan

Gelagat dan karenah “bapa demo” sebenarnya mencuit hati. Tetapi, pada akhirnya yang kita mahukan adalah sebuah negara yang baik, makmur dan bertamadun.

Justeru, saya percaya anjakan paradigma harus dibuat semua pihak supaya proses periksa dan imbang (check and balance) dapat dilaksanakan.

Sesungguhnya pemimpin yang baik itu hanya akan lahir dalam kalangan rakyat baik yang sentiasa berani menegur, mengkritik dan memberikan nasihat tentang perkara salah dan tidak benar.

Khairul Naim Rafidi ialah mahasiswa undang-undang UiTM dan pengasas Sekolah Undang-undang Rakyat (SUUR).

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

BACA JUGA:

Zahid: Ada apa dengan Bersih, saya ‘bapak demonstrasi’