Zahid: Ada apa dengan Bersih, saya ‘bapak demonstrasi’

zahid-bersih

KUALA LUMPUR : Nasib rakyat tidak akan dapat dibela melalui tunjuk perasaan, malah ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Berucap di perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lembah Pantai di sini hari ini, pemangku Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengimbau kembali pengalamannya dan pimpinan Umno lain turun “mengganas” di jalan raya.

“Kaki demontrasi kata (tunjuk perasaan) baik, (sebenarnya) tak baik pun,” kata Zahid memulakan ceritanya.

“(Datuk Seri) Shahidan Kasim (semasa belajar) ‘kepala’ demontrasi tiap-tiap minggu. Nasib baik dah taubat,” katanya kepada perwakilan yang khusyuk mendengar.

Bagi dirinya pula, Kampung Kerinchi (kini Bangsar South) menjadi lokasi persembunyian sewaktu “tengah mengganas” antara tahun 1973 hingga 1976, semasa beliau menuntut di Universiti Malaya, ketika semangat gerakan siswa ketika itu bertiup kencang.

“Menyorok dari siapa? Menyorok dari FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan). Takut FRU kejar saya sebab tiap-tiap minggu buat demontrasi. Mana saya tahu satu hari saya jadi bos kepada FRU,” katanya.

Menyentuh mengenai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Zahid menyifatkan tunjuk perasaan Bersih sebagai himpunan kecil-kecilan.

“Sebab itu bila saya ambil alih KDN (Kementerian Dalam Negeri), mereka buat Bersih 2.0, 3.0, saya kata itu (himpunan) kecil sangat.

“Bukan saya nak menghina mereka. Ini (Zahid) ‘bapak’ demonstrasi.

“Itu sebabnya bila mereka mengadakan demontrasi, mana ada gas pemedih mata, meriam air. Saya cuma kata kepada Ketua Polis Negara jangan kacau mereka. Saya bagi tahu Ketua Polis Trafik, jangan ganggu lalulintas mereka,” kata Zahid.