
Oleh Salahuddin Ayub
Apabila pasaran hartanah kita dikuasai oleh orang-orang Cina dari tanah besar China khususnya di Forest City, ada pihak yang cuba mengaitkannya dengan isu perkauman Cina. Isu yang cuba dimainkan ialah sentiman anti-Cina yang jelas cuba dimanipulasi untuk kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Andaikata pasaran hartanah di Forest City atau mana-mana projek super mega yang berstatus ‘free hold’ di negara ini dikuasi oleh hartawan dari negara Arab atau Indonesia adakah kita akan bergembira atau bersetuju?
Ini bukan isu atau persoalan agama atau perkauman sempit. Ini adalah isu kedaulatan dan keselamatan negara.
Walaupun hartawan dari Arab adalah seagama dan jutawan dari Indonesia mungkin majoritinya bangsa serumpun dengan saya, saya sebagai rakyat di negara ini tidak mungkin akan bersetuju sama sekali kerana kepentingan rakyat dan keselamatan negara adalah segala-galanya.
Membuka pintu negara tanpa batas kepada pemilikan kekal dan bebas oleh rakyat asing ke atas pasaran hartanah adalah katalis kepada pelaku dan penagih rasuah di negara ini, sepertimana khususnya yang sedang melanda pentadbiran kerajaan negeri Johor hari ini. Projek-projek mega di IRDA terutama Forest City adalah contoh terbaik dalam isu ini.
Amanah mengajak rakyat berani bangun untuk menyuarakan penentangan kita terhadap isu rasuah hartanah dan polisi memberikan status hak milik kekal secara berleluasa tanpa had yang memungkinkan berlakunya penajahan baru yang mengancam hak dan keselamatan rakyat dan negara kita sendiri.
Berpayungkan kepada Perlembagaan Negara dan negeri-negeri petualang rakyat dan negara ini mesti diperangi habis-habisan kerana mereka begitu rakus menjahamkan masa depan negara.
Mereka telah khianat kepada rakyat yang memberikan mereka mandat dalam pilihan raya yang lalu.
Salahuddin Ayub ialah Timbalan Presiden Amanah Negara
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.