Pornografi merosakkan pelajar

women_porn

Oleh Mohd Fadhli Othman

Hari ini jika di sekolah, masalah rokok dan dadah menjadi kempen utama di peringkat sekolah, pejabat pendidikan daerah dan negeri. Bulan tanpa rokok dan antidadah menjadi satu kempen yang wajib dilaksanakan di peringkat sekolah. Namun tidak bagi “dadah” pornografi.

Rokok dan dadah mampu dilihat secara zahir. Langkah pencegahannya mampu dirancang agar murid-murid sedar dan tahu akan akibat dan kesan bahayanya. Manakala pornografi pula merupakan jarum halus yang sukar dikenal pasti pada diri seseorang pelajar.

Sebuah kajian dijalankan, 420 kanak-kanak 9 – 16 tahun di beberapa buah sekolah di Selangor. 50% daripada kanak-kanak itu terdedah kepada pornografi di laman web. Manakala 860 remaja berumur 13 – 18 tahun dari Pulau Pinang, Selangor & Johor mencatatkan 36% remaja terlibat dengan satu jenis tingkah laku seksual dan 11% terlibat dengan hubungan seksual.

Cara pornografi merosakkan otak

Kecanggihan teknologi seperti Internet, telefon bimbit dan segala aplikasi media sosial antara faktor utama pornografi sangat mudah berada dalam genggaman tangan dan memasuki ruang peribadi kehidupan pelajar. Hal ini menyebabkan mereka mudah meneroka tanpa batasan dan memperoleh “dadah” pornografi dengan sekelip mata.

Terdapat 2 sistem di dalam otak manusia, iaitu responder (sistem limbik) dan director (prefrontal cortex/PFC).

Sistem direktori (director) berkaitan kemampuan berfikir secara rasional. PFC, antara lain, bertanggungjawab dalam membuat keputusan, menentukan prioriti, menganalisis risiko, dan berkeupayaan penilaian. Namun, PFC belum sepenuhnya berkembang pada usia remaja. Bahagian ini akan sempurna sepenuhnya ketika seseorang mencapai usia 24 – 25 tahun.

Sistem limbik terdiri daripada struktur di otak yang berhubung dengan emosi seperti marah, kebahagiaan dan takut. Sistem limbik juga boleh dikenali sebagai responder. Tugas responder adalah untuk mengatur perilaku, hasrat, emosi, ingatan, motivasi, dan perkara yang berkaitan gerak balas.

Sistem responder antara lain akan mendorong seseorang untuk senang, memuaskan diri, dan merasakan kenikmatan. Bagi kanak-kanak, rangsangan sangat mudah kerana mereka lebih cenderung belajar dengan cara melihat berbanding rangsang berfikir. Kesannya, mereka sukar membezakan fakta dan fantasi serta tindakan yang boleh dan tidak boleh.

Apabila seorang kanak-kanak menyaksikan bahan pornografi, sistem responder lebih banyak dipacu dan jauh lebih besar bertindak. Hal ini kerana pornografi membawa ke arah kesenangan, sedangkan otak depannya atau PFC masih kurang berkembang.

Pornografi membuatkan otak kanak-kanak bertarung antara sistem responder dan director. Akhirnya sistem responder akan berkembang pesat berbanding sistem director yang membawa ketidakseimbangan dalam berfikir dan membuat keputusan.

Kesan kepada pembelajaran

Kini, wabak pornografi bak cendawan tumbuh selepas hujan. Sejak awal sekolah rendah, wabak ini meracuni pemikiran pelajar. Sehinggalah ke dunia IPT, bahan pornografi lebih mudah dimiliki tanpa rasa bersalah di jiwa.

Pornografi memusnahkan sistem pemikiran mereka. Bukan itu sahaja, virus ini mampu mempengaruhi fizikal dan emosi sehingga ke tahap amat teruk. Akhirnya, kualiti pencapaian mereka dalam pelajaran akan merosot.

Ketagihan pornografi membuatkan sistem responder pelajar menjadi selesa dengan kenikmatan yang mereka perolehi. Sebagai contoh, apabila pelajar yang ketagih pornografi bosan, keseorangan atau berada dalam tekanan, maka mereka akan menghalalkan diri ke arah mencari nikmat seks yang singkat.

Setelah perkara ini berulang kali dilakukan, maka sistem director mereka akan rosak. Di sini, kita akan dapati pelajar kurang mampu berfikir secara rasional. Idea dan pendapat yang dikeluarkan tidak mampu mencapai kualiti tinggi.

Selain itu, mereka yang ketagih pornografi juga sukar menentukan prioriti dalam sesuatu hal atau perkara. Akhirnya berlaku tidak keseimbangan dalam menganalisis sesuatu masalah yang akhirnya menyebabkan mereka lemah dalam menangani setiap risiko atau rintangan dihadapi.

Oleh itu, kita boleh dapati keputusan pembelajaran seseorang pelajar boleh berada dalam keadaan merosot setelah menjadi penagih pornografi. Mereka akan hilang fokus, daya fikir dan tidak mampu ke arah kemahiran berfikir aras tinggi seperti yang digariskan sistem pendidikan terkini. Akhirnya, pelajar ini akan terkulai layu.

Jalan penyelesaian

Mereka yang ketagih pornografi perlu diberi kesedaran. Hukuman berbentuk fizikal tidak mampu mengubah cara mereka berfikir. Malah, kemungkinan terus mendorong mereka melakukan tabiat lama itu.

Kesedaran perlu dilakukan dalam bentuk didikan berpanjangan dan berkala. Perhatian perlu diberi oleh ibu, ayah dan guru. Mangsa ketagih pornografi ini perlu dikenal pasti dari peringkat awal.

Ibu bapa tidak seharusnya membiarkan perkara ini dengan bersikap melepaskan batuk di tangga. Menganggap isu ini adalah isu biasa. Guru dan pegawai pendidikan pula disaran memberi perhatian dan pencegahan berat kepada permasalahan ini. Usah menafikan kehadiran wabak pornografi ini. Sesungguhnya isu pornografi ini sedang bermaharajalela seperti rokok dan dadah.

Mohd Fadhli Othman ialah jurucakap dan aktivis kumpulan Mothers Against Pornography yang memperjuangkan penghapusan bahan lucah.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.