Oleh Mohd Fadhli Othman
Gen Y hari ini tidak mahu mendengar cerita lampau. Watak dan perjalanan cerita mengenai peristiwa Israk Mikraj seperti terkandung dalam hadis tidak dipertikaikan. Namun terdapat penceramah Israk Mikraj terlalu memberi keindahan dramatik dalam menceritakan kisahnya.
Akhirnya peristiwa perjalanan Nabi Muhammad dibawa malaikat dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa di Palestin dalam tiga suku malam hanya dipandang dari sudut kisah mukjizat, atau kisah yang membuatkan Gen Y terpegun sebentar.
Sepatutnya, Israk Mikraj ditafsirkan dengan nafas baru. Gen Y hari ini suka perkara yang nampak dan mudah dipraktikkan.
Bagaimana Israk Mikraj mahu dilihat jelas di depan mata Gen Y dan mereka mudah adaptasikan pada masyarakat?
Israk Mikraj merupakan medium untuk menggerakkan Gen Y agar mengamalkan secara praktikal pengajaran kisah teragung itu.
Banyak langkah yang boleh diambil dan dijadikan unsur kinestatik, dan penghayatan yang mendalam sehingga membuahkan amal perlu diterapkan.
Israk Mikraj bukan sekadar visual dan auditori sahaja dalam penyampaian. Elemen ceramah yang berpuluh tahun dilakukan institusi masjid perlu diubah demi mengikut arus permodenanan yang diharung Gen Y kini.
Gen Y hari ini lebih terkesan perkara yang nampak dan jelas di hadapan mata. Persoalannya, bagaimana kisah Israk Mikraj yang menjadi bulan kebesaran di Malaysia hendak diadaptasikan dalam kehidupan Gen Y?
Agamawan dan institusi masjid serta institusi pendidikan perlu melebar luaskan mekanisma pendidikan sejajar dengan perubahan zaman.
Gen Y hari ini terdedah dengan gadget dan segala macam teknologi. Maka raikan cara mereka.
Tidak salah ceramah, menceritakan apa yang berlaku pada Rasulullah, tetapi ada ketika Gen Y merasakan ia sangat klise. Perlu ada nilai tambah dalam memberi kesedaran kepada mereka.
Cuba kita lihat kembali kedatangan pengaruh K-Pop di negara kita. Hanya memerlukan 3-4 tahun sahaja untuk menjadi trending dan ikutan kalangan anak muda. Pakaian, lirik lagu, nama penyanyi dan gerak geri dapat ditiru satu persatu.
Ini membuktikan Gen Y memerlukan sesuatu yang nampak pada zahir untuk diadaptasikan ke dalam kehidupan mereka.
Isra Mikraj pula bagaimana? Sejak dari sekolah rendah, sehingga dewasa, saban tahun didendangkan cerita bagi memperingati Israk Mikraj. Perbelanjaan yang tinggi kadang kala dikeluarkan masjid dan sekolah. Namun keberkesanan daripada sudut praktikal tetap tidak memberangsangkan.
Sudah tiba masanya semua pihak mentransformasikan cara sambutan kebesaran Islam.
Ceramah dan zikir berirama kebanyakannya kepunyaan mereka yang berserban atau mempunyai kesedaran yang mendalam sahaja.
Tidak untuk mereka yang hanya mahukan seronok dan kepuasan yang tidak terbatas. Golongan Gen Y ini memerlukan kerahan dan perahan otak serta tenaga kita. Sudah tiba masanya, institusi agama melakukan perubahan yang drastik agar Gen Y hari ini merasakan dirinya perlu menyambut bulan kebesaran Islam.
* Mohd Fadhli Othman ialah aktivis Pertubuhan Ikram Malaysia
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.