4 soalan buat PM sempena lawatan ke Felda Sg Sayong

4 soalan buat PM sempena lawatan ke Felda Sg Sayong

PKR Johor minta perdana menteri menjawab beberapa masalah besar berkenaan Felda yang berlaku di bawah pentadbiran Najib sebagai perdana menteri yang bertanggungjawab terus dalam hal ehwal Felda.

Hassan-Karim_fgv_600

Oleh Hassan Karim

PKR Johor mengucapkan selamat datang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Felda Sungai Sayong, Kulai, Johor pada hari ini, 10 Jun.

PKR Johor minta perdana menteri menjawab beberapa masalah besar berkenaan Felda yang berlaku di bawah pentadbiran Najib sebagai perdana menteri yang bertanggungjawab terus dalam hal ehwal Felda.

Soalan pertama mengapa FGV yang ditubuhkan oleh Felda menghadapi krisis sekarang di peringkat pengurusan?

Soalan kedua, setelah tanah-tanah milik Felda digadai ketika penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, mengapa kini Felda hanya memiliki 34% saham dalam FGV? Tidakkah ini seperti menang sorak kampung tergadai?

Soalan ketiga, mengapa perdana menteri yang berjanji bulan dan bintang kepada ratusan ribu peneroka-peneroka Felda semasa penyenaraian saham FGV kini senyap tidak menjawab apabila saham Felda jatuh menjunam sehingga peneroka-peneroka yang melabur itu mengalami kerugiaan?

Soalan terakhir adakah perdana menteri bersetuju bahawa apa yang berlaku dalam FGV dan Felda selama berada di bawah pentadbiran perdana menteri adalah 1 kesilapan malapetaka kepada masyarakat Melayu akibat melantik kroni-kroni yang tidak berwibawa sebagai pengerusi Felda dan FGV, dan berlaku amalan salah urus dan pecah amanah di kalangan pimpinan tertinggi pengurusan Felda.

PKR Johor ingin menarik perhatian perdana menteri bahawa kawasan Felda merupakan kawasan penempatan pengundi Melayu yang terbesar di Malaysia dengan jumlah kawasan DUN (95) dan Parlimen (52) yang mengandungi tanah rancangan Felda di dalamnya melebihi mana-mana negeri dalam Malaysia.

Justeru, PKR Johor percaya masa sudah tiba bagi pengundi-pengundi Melayu di Felda di seluruh Malaysia untuk membuat perubahaan politik bagi menentukan masa depan mereka dan negara Malaysia dalam pilihan raya umum akan datang.

Hassan Karim adalah Pengerusi PKR Johor

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.