Petikan novel Faisal Tehrani yang belum diterbitkan

Faisal-Tehrani“Kenapa Profesor Ali boleh menerima saya? Tidakkah saya perempuan berdosa. Semua orang tahu Suliza seorang lesbian, dan saya adalah pasangannya.”

Profesor Ali Taqi menarik nafas panjang.

“Sheikh Yusuf al Makassari.”

Ada darah panas naik ke muka Dalila. “I beg your pardon?”

“Sheikh Yusuf al Makassari.” Ulang Profesor Ali Taqi.

Dalila mengemam bibir. Tuhan, dia menemui Sheikh Makassari di Makassar, dan di sini orang tua itu membawakannya lagi apa yang pernah hilang. Dalila melihat tangan orang tua itu terketar. Usia telah memamah Profesor Dr Ali Taqi, tetapi fikirannya masih cerdas.

“Kau tahu dia?”

Dalila ingin menyatakan dia sudah ke pusara al Makassari tetapi tanpa pengetahuan, dalam keadaan jahil, sudahnya dia memilih untuk berdiam diri.

“Dia ulama dari Makassar. Pernah berperang dengan Belanda antara tahun 1682 sehingga 1683, dan jatuh ke dalam tahanan Belanda pada Disember 1683. Dia dibuang ke Sri Lanka, kemudian ke Afrika Selatan. Sangat terkenal di Sulawesi, dan Afrika Selatan. Dia bukan ulama tasawuf biasa, dia melawan bila ada penindasan dan penganiayaan. Kalau aku sihat, aku akan menulis sebuah novel tentang dia. Mahu kopi? Bilik aku kecil, ini musim panas mereka tidak benarkan penghawa dingin. Oh kau tahu ada berapa ramai orang Melayu di sini, di Stockholm? Hah, aku ada temujanji dengan Setiausaha The Swedish Academy. Pukul berapa sekarang?”

Dalila mulai merasakan Profesor Dr Ali Taqi itu nyanyuk.

Hening seketika. Dr Ali membancuh kopi. Hanya untuk dirinya.

“Tidak sepertimu, yang hilang sebahagian dari ingatan, ingatan saya masih hijau dan segar.” Dia menekankan penggunaan kata saya.

Dalila terpana. Seakan-akan Profesor Dr Ali Taqi mengetahui apa yang ada dalam benaknya waktu itu. Dia berasa malu sendiri.

“Kamu bertanya, dalam emel kamu bertanya; mengapa aku boleh menerima kamu, dan arwah Suliza bukan?”

Dalila diam. Dan diam itu tanda ya.

“Kerana Sheikh Yusuf al Makassari.” Profesor Dr Ali Taqi mencapai sebuah buku berjilid merah dari rak, bangunnya lambat, berhati-hati dan dia duduk semula sambil bersuara, “Tentu kamu masih ingat yang aku pernah menolak hak asasi manusia, bahawa aku seorang relativis budaya, dan kemudian aku berubah dan dicap liberal. Bertahun-tahun aku dipenjara kerana memperjuang kemerdekaan beragama dan bersuara di Malaysia, dibebaskan, dan aku menerima undangan universiti di Barat untuk memberi kuliah.

“Juga, aku menerima pelbagai pengiktirafan. Aku dikecam bangsa sendiri. Disudutkan. Ya, aku banyak menjelaskan bahawa aku menggali tradisi bangsa sendiri untuk menjadi lebih terbuka, dan dengan dengan menggali tradisi bangsa itu aku menjadi lebih toleran, atau liberal kata mereka. Yang sesungguhnya aku mendapat seruan untuk melihat gagasan hak asasi manusia dari kaca mata lain…”

Dalila diam, memasang telinga. Dia tidak tahu ke mana arah tujuan perbualan tersebut.

Apabila Dr Ali Taqi menyatakan ‘tentu kamu masih ingat’, jantungnya bergegar kencang.

“Aku berubah dari seorang yang konservatif, sempit fikiran dan penghukum kepada seorang yang progresif, cerdas fikiran dan pencinta kerana aku melihat bangsaku sendiri menerusi peribahasanya bercerita tentang hak asasi manusia, dan aku temui hal yang sama di dalam pantun. Aku membaca cerita rakyat seperti Luncai, yang menentang feudalisme, menolak kebobrokan kapitalis melampau dan ulama jahat. Aku temui kitab seperti Tafsir Nurul Ihsan yang mempertahankan maruah orang yang menukar agama. Bukan tergesa-gesa mereka dijatuh hukum mati kerana murtad. Malah satu-satunya tafsir dari Malaysia itu menyarankan agar orang murtad dibiar memilih kerana tiada paksaan dalam agama.”

Dalila tidak sabar, mencelah, “Saya lesbian… atau saya pernah lesbian.” Bibir Dalila bergetar.

Profesor Ali Taqi mengangkat sebelah tangan, sebelah tangan yang lain memegang beberapa halaman dari buku berjilid merah.

“Sheikh Yusuf al Makassari menulis banyak kitab. Ada kitabnya, dia menjalin hadis yang dapat menjelaskan agama macam apa Islam itu.”

Dalila tahu, inti bicara Profesor Ali Taqi akan berbunga kini. Bahawa orang tua itu bukan nyanyuk dan mengomel kosong.

“Ini Zubdat al-Asrar. Di tangan saya.” Dia mengunjukkan naskah berjilid merah.

Jadi sebuah kitab, getus hati Dalila.

“Saya berubah, turning point saya, selaku seorang sarjana, kerana idea. Saya seorang sarjana, seorang seniman; dan seorang sarjana seniman tentu berubah, dengan warasnya jikalau ada idea baharu mencabarnya.”

Profesor Dr Ali Taqi menyelak helai halaman kitab yang sudah tampak rapuh. “Sheikh Yusuf al Makassari menjalin pelbagai hadis Nabi dalam menjelaskan apakah itu agama. Agama itu adalah mengenal Allah. Justeru mengenal Allah itu adalah mengenal Allah yang Zat penuh kasih sayang. Mengenal Allah itu bagaimana? Dengan menghias diri dengan akhlak yang baik, iaitu sepertinya akhlak Allah yang melimpah kasih sayang. Akhlak yang baik itu apa pula? Ia adalah silaturrahim. Silaturrahim itu bukan sekadar kunjung mengunjungi tetapi membina hubungan atas kasih sayang, silah itu hubungan dan rahim itu kasih sayang. Dan apa pula silaturrahim? Membahagiakan orang lain dengan memasukkan kasih sayang dalam hati sesama manusia. Jadi, bumbung agama itu adalah akhlak yang baik dan menyebar kasih sayang, kecintaan sesama makhluk.”

Dalila ingin menyampuk, ingin mengingatkan perihal dirinya selaku seorang lesbian. Tetapi dia membiarkan Profesor Dr Ali Taqi membaca petikan dari kitab Zubdat al-Asrar nukilan Sheikh Yusuf al Makassari.

[Ahli-ahli ilmu dan hikmah berkata, ‘Yang dimaksud dengan akhlak mulia terhadap sesama makhluk ialah menyenangkan mereka, intim dengan mereka, dan tidak menjauhkan diri dari mereka.’ Dalam hal ini sayyidna Ali Ibn Ai Talib karrama Allah wajhah berkata: ‘Sebaik-baiknya perbuatan adalah menggembirakan hati teman-teman.]

Kemudian dia mencolek lidah, membasah jari telunjuk lantas membuka halaman lain. Dalila serasa ingin mencelah. Dia tidak mahu mendengar semua itu. Akan tetapi punggung melekat, kelu lidah tak dapat menyanggah. Mata Dr Ali cengkung.

[Barang siapa yang ingin beriman hendaklah ia beriman, dan barang siapa yang ingin kafir biarlah ia kafir, wassalam.]

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.