Ku Li, Zahid perlu beri peluang generasi baru

Ku Li, Zahid perlu beri peluang generasi baru

Umno perlukan seorang presiden mempunyai daya pemikiran yang kritis dan tajam, cekap menguasai laman sosial dan mempunyai tenaga dan pengaruh dalam kalangan orang muda.

Free Malaysia Today
Gambar Bernama

Oleh Zarra Rawi

Ahli-ahli Umno kini berdepan dengan pilihan seorang nakhoda kapal yang lebih tua tetapi berpengalaman atau yang muda tetapi dinamik.

Pada saat ini akar umbi Umno sudah hilang arah. Umno memerlukan seseorang pemimpin yang boleh membawa kita ke arah memenangi pilihan raya umum ke-15. Untuk memenangi PRU15, presiden perlu mengorak langkah dengan tangkas, mengemudi parti-parti yang tinggal di dalam Barisan Nasional ke arah memberikan semak imbang terhadap kerajaan hari ini dan membuktikan kepada rakyat khususnya orang Melayu bahawa parti keramat ini mampu memperjuangkan agama bangsa dan negara.

Di zaman rakyat tinggi ilmu pengetahuan, presiden yang baru perlu mempunyai daya pemikiran yang kritis dan tajam supaya dapat mematahkan hujah pihak lawan. Beliau perlu meyakinkan rakyat bahawa dasar-dasar Umno dan BN yang terbaik untuk kita semua.

Presiden perlu mempunyai tenaga dan pengaruh yang kuat dalam kalangan orang muda supaya dapat menggerakkan jentera di seluruh negara untuk membawa pembaharuan di dalam Umno.

Presiden yang baru juga perlu cekap menguasai penggunaan laman sosial, platform yang penting dalam menyampaikan maklumat kepada pengundi. Terbukti kemenangan Pakatan Harapan yang tidak mempunyai media arus perdana disebabkan penguasaan terhadap laman sosial.

Yang paling mustahak, presiden yang baru perlu menghentikan budaya politik naungan atau “patronage” yang diamalkan sekarang yang memberi kuasa kepada “warlord” di dalam parti. Sedarlah, budaya politik wang dan naungan jelas menjadi punca kekalahan Umno dan BN.

Bakat-bakat yang layak dan bersih tidak dapat naik di dalam Umno. Ahli-ahli baru yang cerdik pandai disekat daripada menyertai Umno. Yang tinggal “warlord” dan pengikutnya di mana kuasa dan pengaruh boleh dijual beli. Sedarlah, selagi amalan ini hidup di dalam Umno, kemenangan PRU15 atau PRU mana-mana pun kekal sekadar mimpi sahaja.

Sudah terbukti rakyat dan orang Melayu menolak malah memandang jelik amalan ini sehinggakan mereka meruntuhkan kerajaan BN pada PRU lepas. Ahli-ahli Umno perlu menerima kenyataan dan menolak pemimpin sebegini jika mereka mahu parti keramat kita diberi peluang memimpin lagi.

Maaf jika saya katakan, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memberi nasihat untuk menolak pemimpin sebegini kepada ahli Umno sebelum beliau meninggalkan parti kita sekali lagi. Lihatlah apa yang sudah terjadi apabila ahli-ahli degil tidak mendengar pesanan tersebut. Jika kita masih tidak belajar dari kesilapan maka Umno tiada harapan lagi.

Maaf, saya juga terpaksa katakan kita tidak nampak Umno dapat dipulihkan jika bergantung harap kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Hamzah apabila kita ambil kira faktor-faktor yang dinyatakan di atas.

Zahid Hamidi

Zahid sehingga kini masih mendiamkan diri walaupun parti sentiasa diserang kerajaan PH. Sebagai pemangku presiden, ahli-ahli Umno mengharapkan beliau untuk menunjukkan semangat juang yang tinggi, lebih-lebih lagi apabila Umno tewas dalam PRU14.

Sepatutnya beliau memberikan kata-kata semangat kepada Umno untuk terus berjuang, mula mempertahankan parti dan memberikan hala tuju. Beliau perlu mampu memberikan hujah, menjawab persoalan dan menangkis serangan yang diutarakan kerajaan berkaitan isu-isu penting negara.

Tuduhan mengenai dana dalam akaun peribadi beliau pun masih menjadi tanda tanya. Apakah kita mampu menutup episod pedih pemimpin Umno yang dikaitkan dengan tuduhan sebegini? Apakah kita mampu menghentikan politik wang dan budaya “warlord” di dalam Umno jika masih dipimpin seorang “warlord”?

Tengku Razaleigh

Tengku Razaleigh juga sudah berdekad hanya berada di pinggiran arena politik Umno. Ramai yang mengatakan beliau mampu memimpin Umno sebagai seorang veteran, namun perlu diingat, beliau bukan seperti Dr Mahathir dari segi perwatakan, semangat juang dan pendirian.

Semasa Dr Mahathir menyerang Umno, beliau duduk semeja dengan Dr Mahathir suatu ketika dulu membuat sidang media. Kemudian tiba-tiba sahaja beliau boleh beralih ke pihak Datuk Seri Najib Razak pula. Jadi apakah pendirian sebenar Tengku Razaleigh?

Jangan dilupa beliau jugalah yang bertanggungjawab ke atas kekalahan Umno di Kelantan di mana kita hilang negeri itu sehingga kini melalui Semangat 46. Apakah beliau meletakkan Umno sebagai keutamaan atau diri sendiri kerana asyik bertukar-tukar pendirian?

Dari segi kebolehan berhujah mengenai isu dan menangkis serangan PH pula, Tengku Razaleigh tidak nampak belangnya. Jadi bagaimana kita boleh mengharapkan kepimpinan beliau dapat meyakinkan pengundi tentang dasar-dasar Umno dan BN? Sampai bilakah Umno akan terus dikalahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir dan Rafizi Ramli apabila berhujah?

Kesimpulannya, Zahid dan Tengku Razaleigh perlu memberikan peluang kepada kepimpinan muda. Mereka sudah lama berkhidmat dan berjasa kepada Umno namun dunia hari ini memerlukan kemahiran yang berbeza.

Izinkanlah laluan, biarlah generasi baru menyelamatkan Umno. Orang muda akan tetap memerlukan nasihat daripada yang tua. Namun, sejarah menunjukkan revolusi dan perjuangan di dunia ini dan kemerdekaan kita digerakkan oleh orang muda. Justeru itu, serahkanlah misi menyelamatkan Umno kepada orang generasi seterusnya.

Zarra Rawi adalah ahli jawatankuasa penerangan Puteri Umno Selayang

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.