Manifesto 10 janji 100 hari PH masih malap?

Oleh Yunus Tasim

Bukan mudah untuk mencapai kemenangan. Tetapi lebih sukar untuk mengisi kemenangan itu. Janji mudah ditabur, tetapi menepati dan melaksanakannya pasti banyak ranjau dan duri. Lebih-lebih lagi dalam memerintah sesebuah negara. Dan lebih parah lagi apabila mewarisi negara yang hampir bobrok.

Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan sejak 9 Mei lalu setelah pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang penuh bersejarah. Tiada siapa yang sangka Datuk Seri Najib Razak dan Umno/BN boleh tersungkur dan dimalukan. Kehendak rakyat dan ketentuan Tuhan tiada siapa yang boleh menghalang.

Kini usia kerajaan PH sudah menjangkau 53 hari. Tinggal 47 hari lagi sebelum tiba tanggal keramat 100 hari. Itulah 10 janji atau KPI pertama yang dijanji dan dijaja KPI untuk memenangi hati rakyat menawan Putrajaya. Jom kita sorot kembali satu persatu.

  1. Memansuhkan GST – Langkah pertama adalah mensifarkan GST dan ini telah dilakukan. Cuma kesan terhadap harga barang seharian belum ketara. Harga tidak turun selain dari harga dikurangkan dengan GST. Dan ini membimbangkan rakyat kerana ada menteri PH mengatakan dengan GST sifar% akan menurunkan harga barangan sehingga 30-50%. Dan rakyat sedang memerhatikan dengan penuh debaran impak bila cukai SST dilaksanakan sekitar September dan Oktober tahun ini.
  2. Mengembalikan semula subsidi bahan bakar secara bersasar. Ini belum dilaksanakan kecuali menetapkan harga RON95 pada harga RM2.20 dan Diesel RM2.18. Dan hanya RON97 diapungkan. Mujur harga minyak mentah berlegar antara AS$68 dan AS$73 sejak 8 Mei lalu.
  3. Skim caruman KWSP kepada suri rumah – Ini dimulakan oleh timbalan perdana menteri tetapi baru diperingkat konsep. Belum ada indikasi apakah janji ini boleh dilaksakan sepenuhnya pada hari ke-100.
  4. Menangguhkan pembayaran semula pinjaman PTPTN – Pelaksanaan kini hanyalah penarikan semula hampir setengah juta peminjam daripada senarai hitam. Peminjam masih dikehendaki membayar balik pinjaman walaupun gaji mereka masih kurang dari RM4,000 sebulan. Alasan yang diberikan kerana hutang negara mencecah RM1 trillion jauh melebihi yang dilaporkan kerajaan Umno/BN.
  5. Menyamaratakan gaji minimum – Menteri sumber manusia menyatakan kerajaan akan mengumumkan kadar gaji minimum baharu sektor swasta selewat-lewatnya Ogos ini selepas selesai proses semakan dan mendapat kelulusan Kabinet.
  6. Siasat institusi yang terpalit dalam skandal terutama sekali isu 1MDB – Pendedahan tentang salah guna kuasa dan penyelewengan SRC International dan 1MDB menjadi ikon dan imej kerajaan PH yang boleh dibanggakan. Mata rakyat terbelalak melihat betapa harta yang tidak munasabah ditimbun oleh bekas perdana menteri dan keluarganya. Ada yang kata mengalahkan Marcos dan Qarun. Seterusnya rakyat ingin melihat yang bersalah itu didakwa dan harta milik kerajaan dirampas dan dikembalikan untuk mengurangkan beban kerajaan.
  7. Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda. Selain daripada bantuan hari raya RM450 untuk 100,000 peneroka melibatkan RM45juta, tiada perkembangan lain berkenaan peneroka Felda. Dan janji ini belum nampak akan perlaksanaannya.
  8. Mengkaji semula langkah pemberian projek mega kepada negara asing. Inisiatif ini masih lagi samar. Kerjaan bersikap “flip-flop” dalam 2 projek mega melibatkan ECRL dan HSR. Mula-mula batal, kemudian kaji keseluruhan kos dan terakhir tidak boleh dibatalkan kerana bayaran yang dibuat dan pampasan yang terpaksa ditanggung. Alangkah lebih baik kalau kajian mendalam dibuat sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan.
  9. Menubuhkan pasukan bertindak untuk mengkaji memulangkan autonomi yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Malaysia 1963. Tidak banyak perkembangan selain pertemuan antara perdana menteri dan ketua menteri Sarawak.
  10. Tingkatkan akses, kualiti perkhidmatan kesihatan – Ini juga belum kelihatan kemajuannya dari segi tindakan selain dari beberapa kenyataan yang dibuat menteri berkenaan suasana kerja yang toksid di kalangan pengamal perubatan dan memecahkan monopoli dalam pembelian ubat-ubatan.

Dari 10 janji 100 hari itu, kad laporan kerajaan untuk penggal PH 50 hari pertama kurang memberangsangkan. Mungkin kita sedia maklum PM belum melantik keseluruhan kementerian. Walaupun demikian, prestasi dengan hanya 10 menteri kanan boleh dikatakan baik.

PM dan TPM juga beberapa kali menyatakan amat sukar memenuhi 10 janji 100 hari itu lantaran banyak masalah dan bebanan hutang yang ditinggalkan kerajaan Umno/BN.

Mujur lebih 70% rakyat masih menyokong dan puas hati dengan kerajaan PH sekarang. Tetapi kata hati rakyat dalam kajian tidak boleh dipakai seperti apa yang terjadi kepada Umno/BN sebelum PRU14 dulu.

Janji tetap janji. Manifesto telah termaktub. Walaupun Tan Sri Rafidah Aziz menyifatkan tempoh 100 hari PH memenuhi sepuluh janjinya itu sebagai tidak masuk akal, tetapi pastinya musuh PH tidak akan memberi peluang kepada PH.

Kerajaan PH pastinya tidak punya lagi alasan setelah majlis angkat sumpah 13 menteri dan 26 timbalan menteri pada 2 hari ini. Inilah masa bekerja sebenar dan tidak ada ruang untuk retorik semata. “Cybertrooper” Umno/BN dan pengkritik di luar sana ibarat singa lapar yang tidak akan memberi ruang untuk membaham PH di setiap kesempatan.

Masa terus berjalan, rakyat terus memerhatikan. Selamat maju jaya kepada menteri dan timbalan menteri PH.

Yunus Tasim merupakan pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.