Pelacuran di Kelantan, sejak Tok Pulai Chondong ke PAS

Pada 1838, apabila Munshi Abdullah belayar ke Kelantan, negeri tersebut mempunyai 2 sebab untuk masyhur.

Pertama, institusi pendidikan yang kita kenal sebagai “pondok” sudah mulai diperkenalkan. Kedua, kerana perniagaan seks, atau pelacuran.

Pondok pertama dipercayai dibuka di Kelantan dalam tahun 1820 di Pulai Chondong. Sekolah agama atau pondok ini dipercayai dibuka oleh seorang ulama bernama Haji Abdul Samad bin Haji Abdullah hin Haji Hasyim, turut disebut sebagai “Pulai Chondong al-Kalantani”. Atau lebih dikenali oleh orang tempatan sebagai Tok Pulai Chondong saja.

Pondok Tok Pulai Chondong ini dikatakan bertempat di Jalan Kuala Krai kira-kira 28km dari Kota Bharu.

Namun demikian ketersohoran pondok ini tidak disebut oleh Munshi, atau selamat dikatakan, ia tenggelam oleh perniagaan seks di Kelantan ketika itu. Padahal pondok itu sudah pun 18 tahun beroperasi apabila Munshi belayar ke negeri Pantai Timur tersebut.

Munshi dalam “Kisah Pelayaran Abdullah” tertarik mengenai pelacuran yang berleluasa dan dianggap biasa di negeri “Serambi Mekah” tersebut.

Untuk tidak dituduh menciptakan, saya memetik perenggan oleh Munshi tersebut:

“Shahadan maka adalah saya lihat dalam negeri Kelantan itu terlalu banyak perempuan jalang. Maka apabila petang hari, datanglah ia dekat-dekat perahu segala dagang, berjalan berduyun-duyun. Ada pun pakaiannya itu berkemban sahaja dengan tiada berbaju; dan rambutnya bersanggul lintang sangkut. Maka dipakainya bunga melor berumbai-umbai, panjangnya sampai ka lututnya. Maka ada pula yang memakai bunga melor berkarang, dengan berbagai-bagai jenis rupanya; ada yang seperti siku keluang, dan ada berkerawang terlalu indah perbuatannya; tiada pernah saya lihat dalam Melaka atau Singapura karangan bunga yang demikian itu bagusnya.

“Shahadan ada pula orang yang menjadi alku atau pinang muda, yang datang kapada segala perahu-perahu, dan bertanyakan perkara itu. Maka adalah adat dalam negeri itu, tiada menjadi hina akan pekerjaan yang demikian itu adanya.”

Keadaan yang digambarkan di atas ini terjadi ketika Taju’s-salatin dalam keadaan dikenali dan dibaca di Kelantan, sehingga Munshi menyatakan keadaan itu amat menyedihkan oleh kerana “dalam negeri Melayu sangatlah ia meringankan ugamanya”.

Kedukaan Munshi itu bagaimanapun mungkin tidak dipedulikan. Sementara itu dalam tempoh 100 tahun, institusi agama dan pondok di Kelantan semakin bercambah sehingga ia mendapat jolokan sebagai Serambi Mekah.

Menurut Arba’iyah Mohd Noor, sejarawan Universiti Malaya dalam makalah ilmiahnya “Perkembangan Pendidikan Islam di Kelantan”, pondok membibit-bibit sehingga ulama di Kelantan sering dirujuk oleh pencinta ilmu agama Islam dari seluruh Nusantara.

Saya memetik pandangan beliau itu di sini:

“Sekitar tahun 1910-1945 merupakan zaman keemasan perkembangan sekolah pondok. Banyak pondok telah dibina dan bilangan pelajar semakin bertambah. Antara pondok yang terkenal ialah Pondok Kemboja, Kg. Atas Sanggol, didirikan oleh Hj. Awang bin Muhd Zin, Pondok Tok Kenali, Kubang Kerian oleh Hj. Mohd Yusof bin Ahmad (Tok Kenai i) sekitar 1910, Pondok Tok Selihor, Kg. Serangan Tumpat (1912), Pondok Ketereh (1916), Pondok Pulau Pisang, Sadang, Kota Sharu (1930), Pondok Sadang Jelapang, Kg. Lemal, Pasir Mas (1925), Pondok Ahmadiyah, Sunut Payong Kota Sharu (1931) dan Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas (1932).”

Pun demikian, tatkala pondok agama ini bersemarak dan begitu subur, kegiatan pelacuran juga ikut subur. Haryati Hasan, sejarawan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris telah melakukan sebuah kajian yang sangat penting antara lain menerusi artikel akademik beliau bertajuk “Malay Women and Prostitution in Kota Bharu, Kelantan, 1950s-1970s”.

Saya terfikir, apakah yang institusi pondok (pelopor Islam tradisional) lakukan untuk membetulkan keadaan ini? Nahi mungkar sahaja? Mengapa pula tiada pemberdayaan kaum wanita agar mereka tidak perlu terjerumus dalam lembah yang tidak wajar ini?

Tidakkah Nabi Muhammad kelak bertanya mengapakah kalian tidak menyelamatkan wanita-wanita ini? Jika ada, ia merupakan kelompongan kajian yang perlu diisi.

Haryati dalam tulisan beliau telah mendatangkan bukti-bukti mengejutkan betapa kegiatan pelacuran dalam kalangan wanita Melayu selepas Perang Dunia Kedua sangat berleluasa.

Ini bermakna, sejak zaman Tok Guru Pulai Chondong, sehinggalah ke era Parti Islam Semalaysia (PAS) memerintah Kelantan antara tahun 1959 dan 1978, jika ada program daripada kelompok Islam tradisional untuk membetulkan gejala ini, ia sudah gagal teruk.

Bahkan, ketika pondok sedang berceracakan meniti zaman emas, pelacuran sedang bertegangan makin cemas. Tidak ada perubahan. Saya ulangi, tiada apa yang berubah.

Baru-baru ini saya membaca kembali kumpulan cerpen oleh A. Samad Ismail yang berjudul “Temasha Tinta” (1967). Terdapat sebuah cerpen berjudul “Kesah Chinta di Kota Bharu” yang dikarang pada 27 November 1966. Ia mengisahkan Nasir, seorang wartawan muda yang ditugaskan mengikuti rombongan perdana menteri Tunku Abdul Rahman untuk melihat usaha kerajaan Persekutuan memanjai kerajaan PAS dengan menawarkan pembangunan antara lain membuka “tanah rancangan”.

Pembukaan cerpen tersebut menunjukkan watak Nasir keresahan kerana tidak mendapat pelacur yang memuaskan hatinya sejak tiba di Kota Bharu.

Pada malam ketibaan, beliau hanya dapat meniduri seorang pelacur yang semua giginya gigi emas, dan rambutnya berbau minyak makan yang dilumur bunga rampai agar tidak terlalu busuk.

Akan tetapi disela kerja melaporkan kegiatan Tunku di pedalaman dan usaha mewawancara menteri besar Kelantan ketika itu yang sangat mewaspadai kehadiran parti Perikatan, Nasir beroleh juga nikmat meniduri seorang pelacur yang gempal bulat.

Samad, selaku cerpenis mengakui kisah-kisah dalam kumpulan cerpen tersebut termasuk cerpen ini terilham dari pekerjaannya.

Nasir wartawan muda itu akhirnya dapat melampiaskan nafsu dengan pelacur Melayu Kelantan yang berhasil membuatkan air kepalanya lerai:
“Mereka naik bersama2 dan Nasir lega melihat Taib tidak ada di-dalam bilek-nya. Meeka bergolek di-katel dan sebentar lagi Nasir melepaskan kemarahan-nya dan kerunsingan-nya saperti sa-ekor binatang buas, menggigit dan mencakar, hingga wanita itu mengeloh dan mengerang tetapi menyerah bulat kapada tenaga muda yang memulas dan menghempas-nya di-katel. Bila wanita itu pulang, Nasir terlentang di-katel, badan-nya berpeloh dan mata-nya termengah2 tetapi merasakan kepuasan yang melapangkan kepala-nya dan dada-nya. Taib pulang, melihat Nasir maseh berbogel di-katel-nya, tidor dengan lenyak-nya.”

Dalam cerpen di atas, pelacur atau “mek Kelantan” digambarkan menunggu rombongan orang luar berhampiran lapangan terbang sepertinya generasi pelacur menantikan kapal dinaiki Munshi Abdullah yang baru mendarat.

Kita mungkin dengan mudah menuduh Munshi dan A. Samad Ismail terpengaruh dengan hal-hal cabul, kotor dan lucah dan mempertikaikan motif mereka mengangkat hal pelacuran.

Akan tetapi, barang diingat terlepas dari niat mereka yang sebenar, kegiatan pelacuran yang menganjur beratus tahun di tengah-tengah mekarnya Islam Tradisional perlu diperkirakan.

Cerpen A. Samad Ismail yang ditulis pada 1966 di atas, dan kajian Haryati Hasan mengenai kegiatan pelacuran ketika PAS memerintah Kelantan antara dalam tahun 1960an itu selari dan tidak menyangkal satu sama lain.
Pelacuran ketika era Munshi Abdullah mengunjungi Kelantan yang sudah terkenal dengan Tok Guru Pulai Chondong itu pun tiada bezanya dengan zaman Samad mengunjungi Kelantan tatkala PAS memerintah.

Pokoknya, ada pelacuran dan tidak ada program daripada kelompok Islam tradisional yang ada direkod (dalam hal ini tok guru pondok sehinggalah ke pimpinan PAS) untuk membetulkan gejala ini.

Jika ada, ia tidak memuaskan. Markah F.

Haryati Hasan dalam sebuah makalahnya yang lain bertajuk “Hubungan Pelacuran-Penghijrahan: Tarikan atau Tolakan” menegaskan dalam kesimpulan tulisan beliau bahawa penguatkuasaan undang-undang yang tegas tidak mendatangkan apa-apa kesan.

Saya menambah di sini: cara untuk merawat pelacuran yang sangat berleluasa di Kelantan itu bukanlah dengan mengetatkan lagi undang-undang Islam, menghukum, memperkenalkan hudud takzir.

Haryati menyentuh beberapa kaedah yang tidak beliau dalami kerana beliau hanyalah seorang sejarawan dan bukan ekonomis iaitu perlunya usaha membasmi kemiskinan, mengurangkan kadar perceraian, memperbanyakkan peluang pekerjaan, serta mengutamakan kebajikan, kepentingan dan keadilan untuk kaum perempuan.

Semua saranan Haryati itu mengukuhkan tanggapan saya bahawa Islam tradisional – paling tidak di Kelantan – kurang berjaya melakukan kebaikan kepada umat. Rentang masa yang panjang untuk memberikan golongan Islam tradisional berperanan telah tepu dengan kisah duka dan sedih.

Benarkanlah golongan Islam liberal memberikan ubat dan rawatan, iaitu dengan menegakkan serta memberikan hak asasi manusia justeru keadilan sosial untuk semua, tanpa memilih bulu.

Masa anda telah berakhir duhai pengamal Islam tradisional.