Demi rakyat, parti wajib latih bakal pemimpin
Apalah sangat yang dapat diharapkan daripada bakal menteri daripada PAS jika mereka berjaya menubuhkan kerajaan pusat bersama Umno.
PAS baru menyempurnakan muktamar tahunannya di Kuantan, Pahang, 1 daripada 2 negeri yang diperintah oleh Umno. Langkah mengadakan muktamar di negeri itu mempunyai makna tersendiri kerana kerjasama antara kedua-dua parti itu semakin kuat. Nampaknya secara keseluruhan ahli kedua parti sudah dapat menerima satu sama lain.
Selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 2 negeri yang ditadbir Umno ialah Pahang dan Perlis. PAS juga mentadbir 2 negeri iaitu Kelantan dan Terengganu. Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dari Terengganu tetapi timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man dari Pahang.
Dalam sejarahnya, Pahang sentiasa menjadi idaman PAS. Malah selepas tsunami politik pada 2008, walaupun ketika itu PAS tidak dapat menguasai Terengganu, kehadirannya di Pahang ketara dan dikategorikan sebagai 1 lagi negeri Pantai Timur yang mahu diperintah parti itu.
Tetapi dengan kerjasama kedua parti itu, jelas Pahang dan Perlis negeri Umno seperti mana Kelantan dan Terengganu milik PAS. Di peringkat pusat pula, digambarkan PAS menerima kepimpinan Umno. Dengan itu apa yang berlaku ini pada tahun-tahun menjelang PRU15 ialah kerjasama antara Umno dan PAS akan terus diperkukuhkan.
Andai kata PAS mengadakan muktamarnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dimiliki Umno sekalipun, ahli-ahlinya sudah dapat menerima. Orang PAS yang menentang kerjasama dengan Umno sebelum ini pun sudah lama tiada dalam parti itu. Mereka menubuhkan parti lain iaitu Amanah, malah sudah pun memperoleh kedudukan dalam kerajaan Pakatan Harapan. Kehidupan politik wajar diteruskan dengan PAS dan Amanah memilih jalan masing-masing.
Sungguhpun begitu, hakikat orang Amanah asalnya ahli PAS tidak akan dilupakan. Dalam minggu lalu, melihat sebaran ahli Amanah, mereka turut memperingati hari ulang tahun meninggal dunia Fadzil Nor, presiden PAS yang semasa kepimpinannya sentiasa menentang Umno dan juga membawa parti itu bekerjasama dengan Semangat 46, Parti Keadilan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan DAP.
Secara umumnya pendokong Amanah tetap memandang Fadzil dan Nik Abdul Aziz Nik Mat, 2 tokoh penting dalam sejarah PAS adalah juga pemimpin mereka.
Lagipun Presiden Amanah, Mohamad Sabu bekas timbalan presiden PAS. Pemimpin utama Amanah asalnya ahli jawatankuasa PAS pusat. Anak 2 orang presiden PAS, Mujahid Yusof Rawa dan Faiz Fadzil juga dalam kepimpinan Amanah.
Peranan Amanah dalam PH jelas. Ia memainkan peranan penting bagi memastikan PH terus bersatu terutamanya mencari jalan supaya PPBM dan PKR tidak bertelagah. Amanah kecil berbanding dengan PAS. Kalau PAS boleh bersuara besar dalam kerjasamanya dengan Umno dan juga semasa dalam Pakatan Rakyat, peranan Amanah berbeza.
PM Amanah
Tidak seperti PAS, Amanah tidak dapat menguasai mana-mana negeri secara bersendirian. Namun dengan adanya seorang ketua menteri di Melaka, Amanah sudah wajar bersyukur. Tetapi kesyukuran ini patut diterjemahkan kepada mencari bakat politik baru untuk memimpin parti akan datang.
Dari Kedah hingga ke Johor, peranan Amanah jelas tetapi jika tidak dipertingkatkan, parti itu tidak berupaya untuk bertahan. Rakyat boleh menerima Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Atas faktor kaum, rakyat tidak dapat menerima perdana menteri dari DAP. Tetapi buat masa ini tidak ada siapa yang akan dapat menerima presiden Amanah menjadi calon perdana menteri. Malah prestasi menteri Amanah masih belum dipandang tinggi.
Pada muktamar PAS baru-baru ini, ada pihak sudah menggambarkan, malah diedarkan bagaimana bentuk Kabinet jika kerjasama Umno-PAS membawa kemenangan. Perdana menteri pasti Umno dan timbalannya PAS. Walaupun presiden PAS tidak menyertai Kabinet, tetapi mungkin beliau dilantik sebagai penasihat kerajaan yang berpengaruh. Atau kedudukannya seperti Lim Kit Siang pada kerajaan PH sekarang. Jadi Tuan Ibrahimlah yang akan menjadi timbalan. Sementara ahli Parlimen PAS akan menduduki jawatan yang sekarang dipegang oleh Amanah seperti menteri pertahanan, agama, kesihatan dan pertanian.
Namun kedudukan PAS dalam kerjasama dengan Barisan Nasional akan jauh lebih kuat berbanding Amanah dalam kerajaan PH yang didominasi PPBM, PKR dan DAP.
Walaupun jika kerajaan BN-PAS wujud, ia akan pasti melalui gejolak “politicking” yang dikaitkan dengan kaum dan agama, tetapi bagi rakyat umumnya soal prestasi menteri amat penting.
Menjelang PRU14 dahulu, prestasi menteri BN jadi bahan jenaka sebahagian rakyat yang sudah bebas menyuarakannya melalui media sosial. Mereka mengharapkan prestasi menteri PH lebih baik tetapi pada masa itu tiada siapa dapat menjangka BN akan kalah.
Sepanjang 1 tahun kerajaan PH memerintah, ternyata prestasi menteri mereka tidaklah secemerlang yang diharapkan oleh pendokongnya. Ada menteri tertentu dari DAP yang boleh dianggap cemerlang, tetapi umumya keseluruhan Kabinet dianggap sederhana. Walaupun mereka aktivis yang berpengalaman, matang, berintegriti dan berprinsip.
Menteri PAS
Keadaan ini tentunya mendorong penulis ini terfikir apakah kehadiran mereka dalam parti politik untuk bertahun-tahun lamanya sebelum ini tidak menyediakan mereka untuk menjadi menteri yang berkesan?
Para menteri Amanah umpamanya hampir keseluruhannya pejuang veteran PAS yang pernah dilabel sebagai profesional dan progresif. Maknanya mereka lebih berkemampuan mentadbir berbanding ulama dan ustaz. Dalam PAS dahulu, mereka adalah “cream.”
Jika keadaannya demikian, apalah sangat yang dapat diharapkan daripada bakal menteri dari PAS jika mereka berjaya menubuhkan kerajaan pusat bersama Umno pada pilihan raya akan datang?
Jadi perkara ini persoalan semua parti, baik dalam PH mahupun Umno dan PAS. Walau apa pun ideologi, retorik dan politik mereka, parti wajib melatih dan menyediakan pemimpin mereka untuk menjadi menteri berkesan.
Walaupun sebahagian rakyat akan terus mengutamakan soal fahaman dan pendekatan parti tetapi sejak Malaysia Baru, orang ramai akan turut memberi perhatian, malah keutamaan pada parti yang dapat memberikan mereka pemimpin yang berkesan untuk menyelesaikan masalah rumit negara.
Umno mempunyai Institut Latihan Memperkasa Ummah (Ilmu) di Janda Baik. Masa dahulu PAS menubuhkan Markaz Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar bertujuan untuk memberi latihan. Institut Kajian Dasar (IKD) sudah lama melatih anak-anak muda untuk PKR. DAP juga dipercayai mempunyai hubungan dengan institut-institut yang melatih pemimpin mereka. Pastinya PPBM dan Amanah sedar tentang keperluan latihan aktivis-aktivis muda mereka.
Hasil awal daripada sebarang usaha latihan jika ada akan dapat dilihat daripada ucapan-ucapan yang disampaikan dalam muktamar atau persidangan tahunan parti berkenaan. Keberkesanan pemimpin adalah dalam menyelesaikan masalah, bukannya pada pakaian meriah seperti bertanjak dan bersampin songket.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.