Membaca kata-kata Muhyiddin

Membaca kata-kata Muhyiddin

Saya ada baca satu komen di alam siber oleh seorang warganegara kita yang meminta rakyat "mendesak PM letak jawatan". Seorang pro-Muhyiddin dengan bernada marah memberi reaksi: "PM sedang berusaha lah buat yang terbaik".

Terus-terang saya mengakui saya tidak menonton wawancara khas Muhyiddin Yassin di televisyen tempoh hari.

Bagi saya, apa yang perlu saya tahu boleh didapati menerusi laporan laman berita dalam talian yang disiapkan cepat dan tepat. Boleh dikatakan laporan sedemikian disiarkan sebaik sahaja wawancara TV selesai.

Mengapa saya tidak ikuti “Bicara khas dengan Perdana Menteri” di kaca TV secara “live”? Sebenarnya bukan “live” pun seperti yang diuar-uarkan sebuah stesen televisyen.

“Ia dibuat secara rakaman bukannya ‘live’ – dirakamkan di RTM pada Sabtu,” kata pengerusi Bernama, Ras Adiba Radzi. Dirakam Sabtu 22 Mei disiar Ahad 23 Mei. Bernama TV bersama RTM mengendalikan wawancara itu.

Berbalik kepada mengapa saya tidak mengikutinya di TV. Maaf. Bukan tunjuk pandai atau mengaku boleh meramal apa yang akan dihidangkan. Cuma saya percaya saya boleh menjangka apa yang akan diperkatakan. Mungkin kah saya tergolong sebagai orang yang mengalami “news fatigue”? Tak mungkin sebab saya “orang berita”.

Di laman Facebooknya, wartawan veteran A Kadir Jasin menjelaskan “news fatigue” dalam Bahasa Melayu bolehlah diterjemah lebih kurang sebagai kelesuan berita atau jemu berita.

“Maksudnya orang ramai sudah lesu, letih, dan jemu dengan matlamat yang diulang-ulang atau orang yang sama menghebahkannya,” kata Kadir.

Apa pun seorang kawan membuat hantaran Facebook yang berbunyi: “Bicara khas cuba merasionalisasi tindakan TSMY dan kerajaan kenapa tak buat PKP. ‘Saya kerap kendali mesyuarat, saya istikharah, saya…saya…saya’. Syok la cakap sensorang. Maka kami putuskan tutup TV.”

Rasanya hantaran itu dibuat ketika “Bicara Khas” ke udara. Dan “TSMY” pula kita tahulah siapa.

Bagi saya apa yang saya kutip daripada laporan laman berita bolehlah disimpulkan seperti ini:

  1. Muhyiddin cuba memberi justifikasi terhadap tindakan dan langkah yang diambil;
  2. Mengajak rakyat bersama mencegah penularan Covid-19; dan
  3. Rela dipersalahkan dan menjadi tempat rakyat melepaskan perasaan marah.

Adakah ia berkesan? Tentu sahaja “ya” jika anda percaya dan yakin terhadap Muhyiddin dan pentadbirannya. Tentu sahaja “tidak”, jika anda tidak yakin dan percaya terhadap beliau dan kerajaan pimpinannya.

Saya ada baca satu komen di alam siber oleh seorang warganegara kita yang meminta rakyat “mendesak PM letak jawatan”. Seorang pro-Muhyiddin dengan bernada marah memberi reaksi: “PM sedang berusaha lah buat yang terbaik”.

Terbaca juga saya komen seperti ini: “Saya ingin membaca dua ayat yang dilontarkan PM dalam masa satu minggu iaitu beliau bertanya kepada rakyat ‘adakah saya (beliau) zalim?’ dan memberitahu rakyat ‘nak kata saya bodoh katalah’.”

Menurut yang membuat komen, kenyataan itu boleh dilihat sebagai “reversed psychology”. Ia berbunyi pesimis, putus asa, dan merayu. Suara nada rendah mohon simpati rakyat, kata beliau, sambil menambah “tetapi kita lihat satu demi satu kegagalan dihadiahkan kepada rakyat. Rakyat yang rasional berpendapat jika gagal, maka yang gagal mesti digantikan dengan yang lain.”

Saya lihat kesimpulan apa yang dikatakan Muhyiddin (walau macam mana cara ia dipersembahkan) ialah beliau tidak bercadang melepaskan jawatan pada waktu terdekat atau pada bila-bila waktu pun. Beliau mahu habiskan tempoh kerajaannya hingga ke 2023 pada mana tempoh itu tamat dan PRU mesti diadakan.

Kata Kadir: “Antara ciri negara gagal adalah pemimpin tidak mengaku bertanggungjawab dan tidak sekali kali akan meletakkan jawatan.”

Pemimpin DAP, Liew Chin Tong menonton wawancara PM di TV tempoh hari (tidak seperti saya). Wawancara itu, kata Liew, “mendedahkan” kerangka pemikiran Muhyiddin sekarang.

“Beliau seakan sudah mengaku kalah, tidak menunjukkan sebarang keazaman untuk memerangi Covid-19 walaupun mempunyai segala senjata dan sumber. PM nampaknya sudah berserah kepada masa dan takdir untuk membawa kita keluar daripada kancah pandemik ini dan hanya meletakkan segala-galanya kepada pemberian vaksin sebagai satu satu jalan penyelesaian.”

Saya akhiri dengan bercakap sekali lagi akan kesanggupan dan kerelaan perdana menteri dituduh atau dipanggil “bodoh” oleh rakyat, asalkan mereka sanggup bekerjasama dengan kerajaan mencegah penularan Covid-19.

Pada malam perdana menteri berkata demikian, FMT melaporkan “berikutan pengumuman kerajaan untuk melaksanakan SOP lebih ketat dalam mengekang penularan Covid-19, tanda pagar #KerajaanBodoh kini ‘trending’ di Twitter.”

Sebelum itu, seperti kita tahu, yang ‘trending’ tanda pagar #KerajaanGagal.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.