
“Bumi yang tiada rimba
Seumpama hamba
Dia dicemar manusia
Yang jahil ketawa”
– “Hijau” nyanyian Zainal Abidin
Sejak akhir-akhir ini Tasik Chini menarik perhatian ramai. “But for the wrong reasons” bak kata Inggeris. Yang hangat diperkatakan ialah penggondolan dan perlombongan di persekitaran tasik itu. Ia sedang menderita.
Sebenarnya penderitaan itu bukan baharu. Ia sudah terjadi sekian lama.
Wartawan veteran Khaidir Ahmad menulis di Facebook mengimbas kembali tugasan berita yang dijalankannya di kawasan itu pada 1996.
Ketika itu, kata beliau, isunya “cuma” paras air tasik surut “sedikit” yang berpunca daripada “kesilapan teknikal dalam pembinaan empangan baharu bagi menyalur limpahan air (overflow) ke Sungai Pahang ketika musim hujan”.
Keadaan itu, menurut Khaidir, juga menyebabkan kadar pertumbuhan lumut di dasar tasik meningkat dan menyulitkan nelayan tradisional di situ mencari ikan.
Pada 2006, beliau berkunjung lagi ke Tasik Chini membuat liputan aduan penduduk setempat mengenai kegiatan pembalakan yang mula menghampiri hutan simpan yang menjadi zon penampan Tasik Chini.
Lima belas tahun berlalu dan “saya benar-benar terkejut apabila melihat foto terkini pemandangan sekitar Tasik Chini yang umpama dibom dari udara,” kata Khaidir.
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim, juga memilih Facebook untuk menceritakan apa yang beliau lihat hampir setahun yang lepas ketika “ke sana untuk tinjauan lapangan Pilihan Raya Kecil Chini”. PRK Chini diadakan pada 4 Julai 2020.
Isu Tasik Chini, kata Yusri, antara yang banyak diperkatakan penduduk tempatan pada waktu itu, lalu beliau memasukkan penemuan tersebut sebagai sebahagian pelaporan dari lapangan.
Dalam laporanya, Yusri mencatatkan bagaimana kedatangan “pelancong pilihan raya” ke Chini disambut pemandangan bukit yang dahulunya menghijau “sekarang sedang membotak”. Debu tanah merah mengotori jalan sekitar Tasik Chini akibat aktiviti perlombongan mineral sekitarnya.
Tinjauan sekitar Tasik Chini, menurut beliau, mengesahkan dakwaan aktiviti perlombongan dilakukan sangat hampir dengan pesisir tasik berisiko merosakkan ekosistem persekitaran yang dihuni komuniti Orang Asal. Mereka memanfaatkan ekosistem tersebut untuk memperoleh pelbagai sumber kehidupan.
Saya tidak pernah kesempatan ke Tasik Chini, tasik semulajadi kedua terbesar di Malaysia, yang terletak kira kira 70 kilometer dari Pekan. Kata orang, dahulunya Tasik Chini sinonim dengan bunga teratai memenuhi permukaannya. Bayangkan betapa cantiknya. Sayang itu kisah lama.
Kata Yusri, Orang Asal menamakan bahagian-bahagian tasik sebagai “laut”. Ada 12 “laut” semuanya, dan yang mula tercemar akibat aktiviti perlombongan menurut mereka, Laut Jemberau dan Laut Melai. Kesimpulannya, Tasik Chini yang sarat dengan khazanah biodiversiti semakin terancam.
Ketika itu lagi, hasil kaji selidik yang dijalankan merangkumi rungutan penduduk setempat serta apa yang sedang dialami Tasik Chini dan persekitarannya, Yusri menyarankan menerusi laporan terperincinya, agar kerajaan Pahang menilai isu itu “dengan lebih konstruktif untuk kepentingan semua pihak terlibat dan melindungi khazanah negeri yang tidak ternilai harganya”.
(Sebelum itu, menurut Yusri pihak berkuasa tempatan telah mengarahkan moratorium sementara aktiviti perlombongan kepada beberapa pengusaha terlibat, dikatakan untuk tempoh dua minggu bagi penilaian semula)
Apa pun, pada Jun 2020, kerajaan negeri memberitahu pemulihan Tasik Chini sememangnya dalam perancangannya. Menurut laporan media, inisiatif memulihkan Tasik Chini dikatakan bermula pada 2019 lagi apabila Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan mesyuarat EXCO bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,498 hektar di tasik itu sebagai hutan simpan kekal.
Bagi mengatasi kegiatan perlombongan pula, kata Wan Rosdy, kerajaan negeri menetapkan dasar khas yang intipati utamanya ialah tidak meluluskan pajakan melombong baharu di kawasan sekitar Tasik Chini.
Namun baru-baru ini, Malaysiakini melaporkan kerajaan Pahang telah meluluskan kerja perlombongan di sekitar Tasik Chini kepada sebuah syarikat yang ada kaitan kerabat raja.
Tapak perlombongan baharu itu terletak kira-kira 3km dari Tasik Chini – tasik yang merupakan kawasan tapak rizab biosfera UNESCO.
Menurut dokumen penilaian alam sekitar yang dibuka kepada umum pada April, projek itu meliputi 40.51 hektar.
Pelbagai pihak, khususnya golongan pencinta alam, membantah sekali gus meminta kerajaan membatalkan kelulusan projek tersebut. Individu turut meluah perasaan. Ramai juga. Lihat sahaja lapangan media sosial. Ada kata-kata sedih. Tidak kurang kata-kata marah dan keras, dan tentunya ada perli tajam dan sinis.
Sehingga kini belum ada reaksi kerajaan Pahang.
Tasik Chini dikaitkan dengan kisah mistik, mitos, dan legenda. Menurut cerita, tasik itu “rumah” kepada Naga Tasik Chini.
Kata Yusri, berdasarkan apa yang terjadi di Tasik Chini sekarang, “naga yang dulunya gah mewarisi lagenda, kini sedang menangis minta dikasihani.”
“Bumiku yang kian pudar
Siapa yang melihat
Di kala kita tersedar
Mungkinkah terlewat”
– “Hijau” nyanyian Zainal Abidin
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.