
Kita maklum khutbah Jumaat mahu pun khutbah Aidilfitri dan Aidiladha disediakan jabatan agama Islam negeri-negeri. Untuk Wilayah Persekutuan tentulah ia disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan atau JAWI. Semua jabatan agama adalah agensi kerajaan.
Antara tujuan khutbah disediakan oleh jabatan agama yang merupakan kerajaan ialah untuk memastikan ia berpandukan ajaran Islam dan tidak “diseleweng” mana-mana pihak.
Alhamdulillah Jumaat lalu saya diberi kesempatan untuk hadir solat di sebuah masjid di Kuala Lumpur. Khutbahnya berjudul “Hikmah Musibah Membawa Keinsafan”. Amat relevan memandangkan banjir besar yang melanda baru-baru ini termasuk di Kuala Lumpur dan masih melanda beberapa negeri.
Intipati khutbah yang disampaikan khatib ialah lumrah kehidupan orang beriman sentiasa diberikan ujian oleh Allah dan dunia ini adalah medan ujian sama ada kesenangan atau kesusahan untuk menentukan sejauh mana tahap keimanan dan kesabaran manusia ketika mengharunginya.
Menurut khutbah berkenaan, dalam keadaan kita masih berperang dengan pandemik Covid-19 berlaku pula banjir besar akibat hujan lebat luar biasa yang mengakibatkan kerosakan dan kehilangan harta benda dan nyawa.
“Justeru sebagai Muslim kita hendaklah percaya dan yakin bahawa Allah hendak menguji sejauh mana penerimaan manusia sama ada reda dan sabar atau putus asa dan menyalahkan ketentuan-Nya,”kata khatib.
Khutbah menyarankan umat islam bersyukur banyak agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan berganding bahu memberi pertolongan kepada mangsa banjir kerana sesungguhnya musibah ini harus dihadapi bersama.
Kata khatib, walaupun ramai yang tidak terjejas dengan musibah ini, sebagai manusia beriman, mereka seharusnya mengambil pengajaran serta turut merasai kesusahan dan kesedihan mangsa.
“Janganlah hanya tahu menuding jari menyalahkan pihak lain. Sebaliknya jadilah warga yang prihatin dengan menghulurkan sumbangan tenaga, harta, dan wang ringgit membantu mangsa yang terjejas,” nasihat khatib.
Saya akui “I am no angel”. Saya bukan orang alim dan diri ini amat kerdil dalam soal agama. Tetapi saya akur tentang apa yang disampaikan khatib menerusi khutbah Jumaat lalu. Sememangnya benar dan betul mengikut ajaran Islam.
Saya kira umat Islam (dan juga bukan Islam) percaya dan yakin akan ujian Tuhan. Mereka (dan kita juga) reda.
Kita sudah saksikan rakyat pelbagai bangsa dan agama tampil secara sukarela, yakni tanpa diarah atau dipaksa, membantu mangsa banjir dengan tidak menghiraukan agama, bangsa, warna kulit. Alhamdulillah.
Kritikan, rungutan, dan kekecewaan yang kedengaran terutama yang diluah mangsa banjir bukan bererti mereka tidak sabar, putus asa, atau menyalahkan ketentuan Tuhan. Mereka tetap sujud dan sembah Yang Maha Esa.
Kritikan keras, ada kalanya terlalu keras, dilemparkan ke atas kerajaan yang dilihat lambat dan gagal menangani keadaan dengan baik. Kecaman ditujukan kepada manusia (bukan Tuhan) kerana manusia melakukan kerosakan di muka bumi ciptaan Tuhan dan kerosakan itu mengakibatkan bencana terjadi.
Diakui kerajaan amat “terasa hati” akan kritikan dan kecaman yang dilemparkan. Beberapa hari lalu seorang pengguna Twitter mendakwa dirinya menerima kiriman e-mel daripada Twitter yang memberitahunya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM mahu Twitter menyekat kandungan ciapan beliau. Ada laporan mendakwa beberapa lagi pengguna Twitter juga menerima e-mel sama.
SKMM mengakui ada memohon Twitter “mengambil kira sensitiviti” dan mengeluarkan apa yang SKMM sifatkan sebagai perkataan “jelik” dalam penggunaan tanda pagar atau hashtag.
Bagaimanapun, menurut laporan, SKMM meminta Twitter menyahkan hantaran yang mengkritik kerajaan. Difahamkan kritikan membabitkan dua menteri iaitu Rina Harun berhubung majlis derma banjir yang dilancarkan di hotel walaupun banjir sedang berlaku dan Noh Omar berhubung kenyataan kontroversi mengenai bantuan mangsa banjir.
Namun Twitter menolak perminaan SKMM “demi ketelusan”.
Tindakan SKMM yang mahu twitter membuang hantaran kritikal terhadap kerajaan dikecam ramai.
Antaranya peguam Syahredzan Johan yang berkata SKMM masih menggunakan “playbook” lama seperti ketika pemerintahan BN iaitu dengan membungkam suara rakyat yang kritikal terhadap kerajaan.
Menurut beliau, SKMM khususnya kerajaan mesti ingat kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah hak yang dijamin Perlembagaan. Jika saya boleh menambah. Suara rakyat, walaupun tidak enak didengar pemerintah, tidak boleh dilenyap atau disenyapkan.
Kerajaan, kata Syahredzan, sepatutnya bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti banjir baru-baru ini supaya kesilapan yang sama tidak berulang dan bukan melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan.
Seperti dikatakan tadi, jelas kerajaan tidak senang akan kritikan terhadapnya khususnya mengenai cara banjir diurus. Rakyat tidak boleh dipersalahkan kerana mengkritik. Sememangnya ada banyak kelemahan. Tidak perlu dihuraikan satu pesatu kerana semua sudah maklum.
Gelagat beberapa menteri juga memualkan rakyat sekaligus menyukarkan Ismail Sabri Yaakob si Perdana Menteri.
Banyak yang boleh para menteri lakukan untuk tidak mencetus kemarahan rakyat. Bagaimanapun bercuti-bercuti ke luar negara sewaktu banjir mengganas, menyalahkan rakyat, berlakon di depan kamera, dan membersihkan tahi cicak dan tahi burung bukan cara membendung kemarahan rakyat.
Berdasarkan sentimen semasa rakyat, jika PRU diadakan esok, saya percaya rakyat akan menolak kerajaan ini. Mungkin saya salah. Tetapi mungkin juga saya betul. Tetapi pilihan raya bukan akan berlangsung esok. Lalu terpulanglah kepada para menteri untuk tidak menyulitkan lagi keadaan untuk bos mereka.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.