
Sorrylah Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Pemuda Umno dah beat you to it. Akmal Salleh ketua mereka terlebih dahulu melenting dan membantah kajian kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur.
Kot-kot Pemuda PAS WP tak perasan atau terlepas pandang, elok diingatkan sebaik sahaja Hannah Yeoh si menteri di Jabatan Perdana Menteri dilapor China Press berkata pihaknya sedang mengkaji hal itu, Akmal pantas buat hantaran di Facebook.
“Sebagaimana kita tolak dan gagalkan perancangan PSB (Akta Pembaharuan Semula Bandar) dan pilihan raya PBT (pihak berkuasa tempatan) sebelum ini begitulah juga kita harus menolak dan menggagalkan rancangan mereka kali ini.
“Kita sibuk bergaduh sesama kita kerana kuasa, mereka bersatu kerana kuasa. Sedarlah wahai saudaraku,” kata Akmal.
Berdasarkan kata-kata itu jelas pilihan raya jawatan datuk bandar dilihat sebahagian pilihan raya PBT. Untuk konteks, dinyatakan parti politik Melayu sejak sekian lama menolak pilihan raya tempatan dengan menuduh ia akan menghakis kuasa Melayu di kawasan bandar yang majoriti penduduk menurut mereka masyarakat bukan Melayu. Sentimen Melayu juga ditiup ketika mereka bantah PSB yang lebih dikenali sebagai URA atau Urban Renewal Act.
Ketika Akmal berkata “kita gaduh sesama kita kerana kuasa”, saya kira beliau merujuk orang Melayu tetapi realitinya yang gaduh sesama sendiri merebut kuasa ialah politikus Melayu, bukan orang Melayu kebanyakan. Apabila beliau kata “mereka bersatu kerana kuasa” dan “kita harus tolak dan gagalkan rancangan mereka”, jelas ‘mereka’ itu merujuk orang Cina atau lebih tepat pemimpin Cina daripada DAP.
Dalam membantah pilihan raya datuk bandar, sasarannya ialah Yeoh. Beliau dilantik menteri Wilayah Persekutuan pada Disember lalu dan timbalannya pula, Lo Su Fui daripada Parti Bersatu Sabah — bukan DAP tetapi berbangsa Cina. Ketika itu ada kalangan Umno zahir kebimbangan Kementerian Wilayah Persekutuan dikuasai dua pemimpin Cina. Bantahan URA sasarannya tentulah Nga Kor Ming, si menteri perumahan dan kerajaan tempatan. Beliau memang daripada DAP.
Berhubung pilihan raya datuk bandar perlu ditegaskan apa yang sedang dilakukan ialah hanya kajian. Belum pun ada keputusan muktamad. Menurut Yeoh, kajian pula dibuat oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan bukannya DAP. Bagi saya, Akmal dan beberapa pemimpin Umno lain telah melatah tak tentu pasal.
Apa pun semasa Akmal membantah keras kajian berhubung pilihan raya datuk bandar, Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar dipetik Malaysiakini berkata pilihan raya itu tidak wajar ditolak secara membuta tuli. Katanya, perkara itu perlu diteliti secara berhati-hati dan rasional dan pelaksanaannya tidak boleh dibuat tergesa-gesa atas nama reformasi. Betul. Bukankah itu yang sedang dilakukan, yakni kajian yang disebut Yeoh?
Reaksi Sukri memang tenang tanpa emosi. Mungkin respons begitu tidak memuaskan hati Azmer Syazwan Ahmad Suparmin, si ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
Lantas beliau garang berkata, “kami memberi amaran kepada menteri Wilayah Persekutuan jangan menguji kesabaran rakyat bandar. PAS Wilayah Persekutuan tidak akan berdiam diri sekiranya langkah itu diteruskan”. Memang keras tetapi seperti dikatakan pada awal artikel ini ketua Pemuda Umno terdahulu melenting.
Azmer menghurai panjang mengapa Pemuda pimpinannya membantah. Tidak perlu saya ulangi. Yang jelas beliau menggunakan sentimen kaum. “Komuniti Melayu bandar, penduduk PPR dan kelompok rentan akan terpinggir secara sistematik dalam proses pemilihan datuk bandar”.
Kesimpulannya beliau menyifatkan pilihan raya berkenaan sebagai ancaman terus kepada “kedaulatan Melayu dan keseimbangan Perlembagaan”.
Saya ulangi apa yang pernah saya tulis untuk FMT tidak berapa lama dahulu: “Sekarang mengapa saya berasa sedih. Ini kerana pilihan raya PBT dikaitkan dengan bangsa. Umno dan PAS sekian lama menentang pilihan raya ini tetapi dulu mereka cakap berlapik dan berkias tetapi mudah difahami apa mesejnya.”
“Sekarang kedua-dua parti itu serta Bersatu lantang dan terbuka mendakwa orang Cina akan menang orang Melayu kalah sekali gus dikuasai bangsa lain jika pilihan raya PBT diadakan.”
Itu petikan artikel bertajuk “Suka duka pilihan raya PBT” yang disiar FMT dua tahun lalu.
Pilihan raya PBT bantah. Pilihan raya datuk bandar bantah. URA bantah. Tidak melangkah ke hadapan. Paling tidak pun kekal pada takuk lama. Paling bimbang jika mundur.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.