PAS: Apa yang berlaku ni?

PAS: Apa yang berlaku ni?

Adakah sesuatu sedang berlaku dalam PAS?

Mohsin Abdullah

Presiden Bersatu ke kediaman mursyidul am PAS di Arau, Perlis pada Jumaat lalu dilihat sebagai mengukuhkan hubungan antara kedua-dua parti. Yang melihat begitu ialah Kamarudin Md Nor, orang kuat Bersatu Kelantan.

Menurut beliau, pertemuan Muhyiddin Yassin dengan Hashim Jasin memperlihatkan hubungan antara kedua-dua parti berada dalam keadaan baik, walaupun ada yang beranggapan sebaliknya susulan beberapa isu terdahulu. Tidak perlulah saya huraikan apa ‘beberapa isu terdahulu’ yang disebut beliau itu kerana sudah menjadi pengetahuan umum.

Malay Mail menyiarkan gambar Muhyiddin dan Hashim bersama penyokong, posing for the camera di depan kediaman mursyidul am. Gambar itu digunakan juga oleh kawan lama saya, Syed Putra Ahmad, untuk mengiring hantarannya di Facebook.

Syed Putra ialah bekas pengarang Harakah. Tidak pasti apa kaitan gambar itu dengan hantarannya. Tidak terlintas pula dalam fikiran untuk bertanya semasa saya berWhatsApp dengan beliau meminta izin petik hantarannya untuk artikel ini. Silap saya.

Apa pun posting beliau menarik. Saya petik sebahagian: “Bagi saya PAS perlu umumkan calon PMnya. Cukuplah berteka-teki tentang perkara ini,” kata beliau.

Teka-teki itu kata beliau sudah terlalu lama, “sekali gus terus menggalakkan kecamuk, kekeliruan dan paling penting kelesuan awam”. Kata Syed lagi, “pengumuman calon sendiri adalah hak penuh PAS dan tidak perlu melibatkan sokongan atau persetujuan orang lain.” Betul kata beliau.

Lantas beliau memetik kata-kata George Canning, perdana menteri British pada tahun 1817: “Indecision and delays are the parents of failure.” Sekali lagi betul.

Tetapi pada hemat saya PAS sudah ada pilihannya. Mungkin beberapa nama yang diketengah sedang dipertimbangkan cuma ada tidak persetujuan dalam kalangan pemimpin. Tidak ada consensus. Contoh: Ahmad Samsuri Mokhtar, naib presiden yang juga menteri besar Terengganu.

Dikatakan beliau pilihan sesetengah pihak dalam PAS untuk dijadikan pengerusi Perikatan Nasional lalu jadi ‘poster boy’ dan calon PN untuk jawatan perdana menteri pada pilihan raya umum mendatang.

Samsuri punya kelulusan pendidikan sebagai aerospace engineer, yakni bukan ulama. Jadi semua sudah maklum beliau tidak diterima oleh golongan pro-ulama, pro-geng ostad, dan juga ulama tertentu dalam PAS.

Kata mereka, prinsip PAS ialah parti kepimpinan ulama sejak sekian lama. Konsep kepimpinan ulama merupakan dasar politik PAS. Maka bagi golongan ulama dan penyokong, ini mesti dipertahan dan kekalkan.

Pendirian ini bukan sesuatu yang baru. Kita masih ingat pertembungan antara golongan ulama dengan golongan profesional atau progresif dalam PAS. Yang masih segar di ingatan ialah pemilihan parti pada 2015 yang akhirnya membawa kepada lahirnya Amanah. Parti ini menjadi musuh ketat PAS sehingga sekarang. Maka penolakan golongan ulama terhadap profesional bukanlah aneh, tetapi apabila geng ostad tidak terima Samsuri maka pada pandangan saya pelik.

Saya faham mereka bertegas calon PM daripada PAS mesti seorang ulama. Tetapi Samsuri bukan biasa-biasa. Beliau ialah bekas setiausaha politik Hadi Awang, presiden PAS. Oleh itu tentulah Samsuri orang kepercayaan Hadi.

Menurut catatan aktivis media anak kelahiran Terengganu, Fathi Aris Omar pada Mac 2024, Hadi beri peluang luar biasa kepada Samsuri. Katanya, presiden PAS itu menyerahkan kerusi DUN Rhu Rendang yang sangat kebal dan sarang tarbiah PAS kepada Samsuri. Ini jelas beri kerusi pasti menang kepada Samsuri.

Kata Fathi lagi, Hadi meminta Samsuri bertanding pada 2018 dengan harapan boleh dilantik sebagai menteri besar Terengganu. Samsuri menang maka hasrat Hadi kesampaian. Hadi juga, menurut Fathi, “bersusah payah melindungi Samsuri daripada serangan dari dalam dan luar parti apabila MB Terengganu itu bercuti di New Zealand ketika negerinya dilanda banjir teruk” pada Disember 2022.

Jika saya boleh gunakan istilah ‘anak emas’, bolehlah dianggap Samsuri orang itu, lantas saya pelik apabila golongan ulama tidak mahu Samsuri jadi calon PM untuk PN. Malah menantu Hadi sendiri tidak setuju jika Samsuri dipilih. Zaharudin Muhammad, ketua PAS Sungai Buloh, berpendapat PAS bakal kehilangan 37 kerusi Parlimen sekiranya Samsuri menerajui PN. Dapatan itu dakwanya diperolehi daripada data dalaman, ertinya hasil kaji selidik.

Beliau bagaimanapun tidak beri butiran lanjut tetapi berkata “cuma saya bimbang kawan-kawan seronok untuk naikkan PAS atau lebih spesifik Dr Sam (Samsuri) sebagai pengerusi PN tanpa menyedari ianya tidak baik untuk PAS dan Malaysia”. Zaharudin dipetik berkata demikian oleh Berita Harian pada 15 Januari lalu.

Bukankah menolak pilihan Hadi bererti melawan presiden? Tetapi saya tidak pasti sama ada Hadi endorse Samsuri secara terbuka dalam PAS atau sama ada mesyuarat PAS Pusat sudah buat keputusan dan diluluskan oleh majlis syura. Saya ulangi jika Samsuri pilihan Hadi mengapa hasrat presiden ditentang? Apa jadi dengan wala’ PAS? Beranikah hasrat Hadi dibangkang?

Lihat pula kenyataan mursyidul am PAS selepas pertemuan beliau dengan si presiden Bersatu yang diceritakan awal penulisan ini. Malaysiakini melaporkan Hashim berkata keputusan Hadi ‘singkir’ tiga Adun Perlis belum muktamad. Ini berhubung krisis politik Perlis tempoh hari.

Respond Syahir Sulaiman, setiausaha politik Hadi — pemberhentian keahlian tiga Adun itu keputusan kepimpinan pusat parti yang muktamad dan bukan arahan peribadi Hadi.

Ada yang tersurat dan tersirat ke? Adakah sesuatu sedang berlaku dalam PAS?

Berbalik kisah Samsuri. Adakah Hadi belum menyatakan sokongan kepada Samsuri secara terbuka? Beliau berselindung-selindung atau termakan amaran menantu? Barangkali Hadi ada calon lain yang menjadi pilihan tetapi terus merahsiakan calon idaman? Adakah calon itu beliau sendiri? Saya tahu beliau sudah nyatakan tidak berminat tetapi kita bercakap pasal politik yang kita tahu serba kemungkinan.

Petang semalam Malaysiakini memetik sumber melaporkan PAS sudah mengutarakan tiga nama sebagai pengganti Muhyiddin selaku pengerusi PN. Mereka ialah Tuan Ibrahim Tuan Man iaitu seorang ulama, Samsuri, dan seorang lagi bukan ulama, Sanusi Nor.

Setakat artikel ini ditulis belum ada reaksi rasmi PAS. Apa juga keadaannya saya rasa selaku politikus berpengalaman luas pasti Hadi ada plan tersendiri.

Namun, “a good plan violently executed now is better than a perfect plan next week”. Itu kata-kata George S Patton, komander tentera AS semasa Perang Dunia Kedua. PRU pun bagai perang juga kan?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.