Pengganti Azam Baki

Pengganti Azam Baki

Abdul Halim Aman selaku nakhoda baharu menggalas tugas berat iaitu memastikan SPRM menjalankan tugas dengan baik dan memulihkan imej tercalar.

Mohsin Abdullah

Pada Khamis 23 April lalu, seorang kawan lama menghantar saya laporan media melalui WhatsApp bertajuk ‘Agong akan pilih ketua SPRM yang baru’ diiringi komen: “Agong dah tak percaya PMX’s decision making — baginda nak pilih sendiri”. Kawan saya ini bukanlah peminat Anwar Ibrahim.

Jawapan saya, “well that’s one way of looking at it” tetapi kata saya apa-apa pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong dibuat atas nasihat perdana menteri. Ini amalan lazim dan mengikut Perlembagaaan. Saya merujuk Perkara 40 Perlembagaan walapun saya bukanlah pakar perundangan. Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memperuntukkan kuasa kepada Agong untuk melantik ketua pesuruhjaya SPRM, atas nasihat perdana menteri.

Namun, pada 23 April lalu Sultan Ibrahim bertitah baginda akan menentukan calon terbaik untuk menerajui SPRM. Seorang pengulas, Hafiz Hassan, dalam suratnya di Malay Mail menulis Agong berhak mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan negara yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri, seperti dinyatakan Perkara 40(1) Perlembagaan. Lalu, perdana menteri memaklumkan senarai calon telah dipersembahkan kepada Agong pada 24 April.

Tentulah beberapa nama supaya Sultan Ibrahim punyai pilihan untuk memilih. Kesimpulan terbaik dibuat wartawan veteran, A Kadir Jasin, “The prime minister provides the list. The King choose whom he pleases”.

Semalam, Agong memperkenankan pelantikan bekas hakim mahkamah tinggi, Abdul Halim Aman, sebagai ketua pesuruhjaya baharu. Pelantikan juga diumumkan semalam oleh Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, berkuat kuasa 13 Mei.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam sebelum perhimpuan anti-Azam Baki diadakan di Kuala Lumpur. Saya yakin ‘timing of the announcement’ tidak ada kena-mengena dengan perhimpunan, apatah lagi untuk mendorong pembatalannya kerana penganjur dan peserta mahu Azam ditangkap, bukan sekadar digantikan. Lihat apa yang dikatakan mereka pada perhimpunan itu. Jelas mereka sudah menjatuhkan hukum ke atas Azam. Bagi mereka Azam bersalah meskipun dia belum berdepan apa-apa tindakan atau tuduhan pihak berkuasa.

Pun begitu, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadhil, kata siasatan ke atas pemilikan saham berkait Azam sudah selesai dengan keputusan muktamad kini di peringkat tertinggi kerajaan.

Benar Azam tercemar dan dikaitkan dengan pelbagai tuduhan penyelewengan atau salah laku. Namun, untuk berlaku adil apa pun pandangan peribadi, hakikatnya beliau ‘not guilty until proven’. Biasanya, orang kata ‘innocent until proven guilty’. Oleh itu tuduhan dilempar golongan tertentu buat masa ini kekal hanya tuduhan atau ‘mere accusation’. Saya ulangi ‘buat masa ini’.

Perlu dinyatakan juga penggantian Azam dibuat kerana kontraknya akan tamat pada 12 Mei. Sebelum ini kontrak beliau disambung tiga kali dengan setiap satu selama tempoh setahun — iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025, serta 13 Mei 2025 hingga 12 Mei tahun ini.

Nama Azam pertama kali dicadangkan untuk jawatan ketua SPRM oleh Muhyiddin Yassin semasa beliau menjadi perdana menteri ke-8. Pelantikan Azam dibuat 9 Mac 2020 dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Azam menggantikan Latheefa Koya, yang dilantik ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri ke-7 (Mei 2018-Mac 2020). Latheefa hantar surat peletakan jawatan kepada Muhyiddin, selepas pentadbiran Mahathir tumbang susulan Langkah Sheraton.

‘Public perception’ tidak memihak kepada Azam dan malangnya terhadap agensi pimpinannya juga. Kena juga tempias. Lantas Halim selaku nakhoda baharu menggalas tugas berat iaitu memastikan SPRM menjalankan tugas dengan baik dan memulihkan imej yang tercalar. Imej tercalar itu, sama ada adil atau tidak, menyaksikan SPRM diselubungi krisis keyakinan di mata khalayak.

Jawatan terakhirnya adalah hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam. Beliau banyak menghakimi kes profil tinggi khususnya jenayah. Menurut Berita Harian, pada 2019 beliau menjatuhkan hukuman mati ke atas tiga individu dalam apa yang dikenali sebagai kes pembunuhan ‘tanpa mayat’ di Klang, yang disifatkan sebagai jenayah kejam, ganas, dan tidak berperikemanusiaan.

Pada tahun sama, Halim menolak rayuan penceramah Wan Ji Wan Hussin dalam kes hasutan membabitkan komen terhadap Sultan Selangor, dan meningkatkan hukuman kepada satu tahun penjara dengan merujuk kepada prinsip Rukun Negara mengenai kesetiaan kepada Raja. Pada 2021 pula, beliau menjatuhkan hukuman mati ke atas suami seorang pengasuh atas kesalahan membunuh bayi berusia 11 bulan, menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan.

Cukup setakat itu. Bagi Berita Harian, pengalaman luas Halim mengkukuhkan profil beliau sebagai tokoh kehakiman berpengalaman. Sekarang pengalaman itu dibawa ke SPRM.

Khamis lalu, Agong bertitah jawatan ketua SPRM amat penting dalam memastikan badan itu terus berperanan secara berkesan dalam membanters rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa.

Pada hari itu juga, Sultan Ibrahim bertitah: “Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini” dan tidak perlu mana-mana pihak mempolitikkan perkara itu.

Hari ini yakni tiga hari selepas bertitah demikian, Sultan Ibrahim sudah laksana apa yang dijanjikan. Ertinya Abdul Halim Aman adalah pilihan terbaik. Maka beliau mesti memikul tanggungjawab dan kepercayaan yang diberi kepadanya oleh Agong dan rakyat.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.