Sistem dwi parti jalan bebas daripada Umno

Sistem dwi parti jalan bebas daripada Umno

PAS akan jadi lalang dalam perjuangan menewaskan kekuasaan Umno sekiranya ia memilih untuk mementingkan survival politiknya saja.

Pas,-Pakatan-Harapan
Oleh Howard Lee Chuan How

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali nampaknya tidak bersetuju dengan cadangan bernas timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu mengadakan ‘gencatan senjata’ di antara parti pembangkang.

Malah beliau selanjutnya melancarkan serangan ke atas DAP.

Kenyataan Khairuddin yang membidas sistem dwi parti amat mengelirukan, kerana sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

“Sistem dwi-parti ternyata merosakkan kerana setiap parti akan memejamkan mata (atas) kesilapan parti mereka, akan mempertahankan kerosakan dan kebatilan.

“Itu berlaku dalam Pakatan Rakyat sebelum ini. Lihat banyak onar dalam DAP tapi kita pejam mata kerana menjaga Pakatan Rakyat, itu bahaya bagi negara,” katanya, dilaporkan Malaysiakini.

Khairuddin sewajarnya sedar hanya pertembungan secara dwi-parti dalam pilihan raya akan membolehkan pemerintahan Umno berakhir. Ini dibuktikan secara matematik sepanjang dua pilihan raya umum lalu.

PAS akan ternyata menjadi lalang dalam perjuangan menewaskan kekuasaan Umno yang lebih setengah abad sekiranya ia memilih untuk mementingkan survival politiknya saja, bukan kepentingan rakyat dan negara.

Fitnah kononnya ‘banyak onar dalam DAP’ namun mereka (PAS) masih pejam mata, semata-mata untuk menjaga Pakatan Rakyat, adalah sesuatu yang tidak wajar dituturkan setelah bertahun-tahun PAS dan DAP membina kerjasama dan persaudaraan di peringkat akar umbi.

Malah ia memalukan diri sendiri kerana PAS juga nampaknya memejamkan mata apabila berdepan korupsi dan skandal Umno yang kini menjadi rakan bersanding meski tanpa perlu bernikah.

Sekiranya PAS begitu yakin dengan fitnah mereka terhadap DAP, dan ragu-ragu dengan kerjasama dalam kerangka Pakatan Rakyat, PAS sepatutnya sudah boleh meletakkan jawatannya dalam kerajaan negeri Selangor yang berfungsi dalam kerangka kerjasama dengan DAP.

Penafian beliau tentang sebarang usaha PAS untuk mewujudkan kerjasama dengan Pakatan Harapan amat memilukan. Begitu mudah sekali mereka berputus asa dengan rakan-rakan, namun tidak sukar pula meletakkan harapan kepada musuh utama seluruh rakyat Malaysia.

Pakatan Harapan sentiasa terbuka menyambut kerjasama mereka yang bersedia menumbangkan pemerintahan BN. Namun kita tidak akan buang masa dengan mereka yang tidak percaya dan menghormati harapan dan aspirasi seluruh rakyat Malaysia, dan hanya mementingkan kepentingan pihak atau golongan tertentu saja.

Howard Lee Chuan How ialah setiausaha antarabangsa DAPSY.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.