1,854 kes Covid-19, Sarawak kembali catat jangkitan tertinggi

1,854 kes Covid-19, Sarawak kembali catat jangkitan tertinggi

Sarawak melaporkan 555 kes.

PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan melaporkan kes jangkitan baharu Covid-19 meningkat 1,854 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Sarawak kembali melaporkan kes tertinggi dengan 555 kes, diikuti Selangor dengan 403 kes.

Beliau berkata peningkatan kes di Sarawak disebabkan pertambahan kluster dalam kalangan komuniti, termasuk di rumah panjang.

“Faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes adalah acara-acara keramaian dan aktiviti-aktiviti sosial seperti upacara pengebumian, perkahwinan, dan lain-lain acara keraian.

“Pada hari ini sahaja, Sarawak melaporkan dua kluster komuniti yang baharu iaitu Kluster Sungai Gemuan dan Kluster Disso,” katanya.

Sementara itu, empat negeri lain melaporkan tiga angka kes, iaitu Pulau Pinang (176 kes), Kelantan (143), Sabah (135), dan Johor (103).

Kuala Lumpur juga melaporkan 135 kes.

Berikut bilangan kes baharu di negeri atau wilayah lain:

  • Negeri Sembilan (40)
  • Kedah (40)
  • Melaka (34)
  • Perak (29)
  • Terengganu (29)
  • Pahang (19)
  • Putrajaya (6)
  • Labuan (3)

Perlis satu-satu negeri tidak melaporkan kes baharu.

Sementara itu, perkembangan semasa kes Covid-19 melaporkan 1,247 mangsa pulih dan lima kematian.

Ini menjadikan 341, 489 kes pulih daripada keseluruhan 357,607 kes sehingga kini, dengan 1,313 kematian dilaporkan.

Dalam pada itu, sebanyak 14,805 kes aktif, dengan 169 pesakit sedang dirawat di ICU dan 79 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Kes baharu melibatkan 20 kes import dan 1,834 jangkitan tempatan yang terdiri daripada 1,616 warganegara dan 218 warga asing.

Lima kematian pula membabitkan individu berusia 32 hingga 69 tahun, dengan tiga daripadanya warganegara dan dua warga asing, yang mana empat daripadanya mempunyai latar belakang penyakit lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.