Rakaman audio memang suara saya, tapi yang bersalah perakamnya, kata Hamzah

Rakaman audio memang suara saya, tapi yang bersalah perakamnya, kata Hamzah

Hamzah Zainudin berkata, ia merupakan perbualannya dengan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador sebelum ini.

Hamzah Zainudin
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin mengakui suara dalam rakaman yang tular di laman sosial berhubung pelantikan Ketua Polis Negeri adalah suara beliau, namun menegaskan dirinya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Sebaliknya, tindakan merakam perbualan orang lain adalah satu kesalahan, tegas Zainudin.

Beliau berkata rakaman audio yang tular itu adalah perbualan beliau dengan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador sebelum ini.

“Memang (suara saya) takde mirip-mirip…saya mengaku. Cuma yang salah adalah orang yang merakam,” katanya pada sidang media.

“Apa salahnya? Dia ‘cikgu’ saya, okay ‘jalanlah’. Tak perlu (jalankan siasatan), saya tak buat apa kesalahan, orang yang merakam perbualan saya dengan orang lain itu melakukan kesalahan.

“Saya beritahu seseorang yang penting (Hamid). Kita (Hamzah dan Hamid) buat perkara yang betul sebab ia diminta oleh Istana dan saya kata ‘okay kita akan hantar beberapa nama’,” tambah beliau.

Terdahulu, satu rakaman audio yang disunting bersama video berdurasi 1 minit 22 saat itu tular sejak beberapa hari lalu dan dikatakan suara dalam rakaman berkenaan mirip Hamzah.

Antara yang dibualkan dalam rakaman itu mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam polis selain ada menyebut mengenai lantikan seseorang yang berasal dari Ipoh, Perak.

Sebelum ini, polis menjalankan siasatan terhadap rakaman perbualan dikatakan antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkaitan Perhimpunan Agung Umno 2020.

Perbualan itu didakwa sesetengah pihak sebagai bukti kerjasama politik yang cuba diusahakan oleh dua pemimpin berkenaan.

Anwar menolak tindakan polis menyiasat rakaman audio itu, kerana ia bukan jenayah dan meminta polis bersikap adil dengan turut menyiasat rakaman audio yang dikaitkan dengan Hamzah.

Siasatan polis bersabit perbualan ‘Anwar-Zahid’ itu tertumpu kepada mengesahkan pembual dan mencari perakamnya, sama ada rakaman itu diubah suai oleh pihak tertentu, dan apakah motif ia disebarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.