Tak pakai pelitup muka ketika sidang media, Tajuddin disiasat

Tak pakai pelitup muka ketika sidang media, Tajuddin disiasat

Semua pihak yang terbabit dalam kes berkenaan akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi memberi keterangan dalam masa terdekat ini.

Tajuddin semalam mengadakan sidang media berkait insiden perlanggaran tren transit aliran ringan (LRT) KLCC.
PETALING JAYA:
Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Tajuddin Abdul Rahman disiasat berhubung rakaman video sidang media yang menunjukkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak memakai pelitup muka, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah.

Beliau berkata, siasatan berhubung kejadian itu disiasat pihaknya di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Selain itu, siasatan juga dijalankan mengikut Peraturan 17 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya dalam kenyataan.

Zainal berkata, semua pihak yang terbabit dalam kes berkenaan akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi memberi keterangan dalam masa terdekat ini.

“Kertas siasatan akan diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan,” tambah beliau.

Semalam, video Tajuddin menjawab soalan wartawan berkait insiden perlanggaran tren transit aliran ringan (LRT) KLCC dalam sidang media selepas meninjau kawasan kemalangan itu tular di media sosial.

Dalam pada itu, Zainal turut mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kegagalan mematuhi SOP membolehkan tindakan tindakan diambil mengikut undang-undang dan peraturan berkuat kuasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.