
Gesaan itu menyusul kenyataan Azalina meminta kerajaan melabur bagi mengadakan sidang Parlimen secara maya ketika tempoh darurat kerana tiada cara untuk negara maju melainkan Parlimen dibenarkan bersidang semula.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dalam kenyataan hari ini memuji usaha Azalina, tetapi menggesa beliau dan Ahli Parlimen lain tidak menunggu kerajaan bertindak.
“Tindakan mereka (dan tiada tindakan) tahun lalu menunjukkan kerajaan tidak dapat diharapkan.
“Jika timbalan speaker sendiri tidak mendapat jawapan daripada peguam negara dan menteri undang-undang, apakah peluang untuk Ahli Parlimen dan rakyat marhaen dalam memastikan kerajaan bertanggungjawab.”
Khoo menggesa Azalina untuk mengetuai usaha mengadakan “Parlimen Rakyat”, sesi Parlimen maya alternatif.
“Dalam banyak cara, cadangan ini sama seperti inisiatif ‘Parlimen Digital’ yang dianjurkan kumpulan belia pada Julai tahun lepas.
“Belia menunjukkan kepada kita yang ia boleh dilakukan. Sudah tiba masanya untuk kita mengorak langkah dan meneruskan cabaran.”
Wakil rakyat DAP itu berkata, sesi maya perlu dianjurkan bersama oleh pejabat timbalan speaker dengan penglibatan parti politik dan Ahli Parlimen berminat.
Beliau berkata, penyertaan Ahli Parlimen boleh dibuat secara sukarela.
Katanya, walaupun sesi Parlimen Rakyat akan menjadi alternatif tidak rasmi dan tidak mempunyai kuasa undang-undang, ia akan menyediakan platform untuk Ahli Parlimen membahas dan membincangkan perkara kritikal.
“Menteri juga harus menyokong dan menyertai sesi itu. Jika tidak, malulah.”