Buka semula pelancongan domestik semua negeri, kata pengusaha hotel, ejen pelancongan

Buka semula pelancongan domestik semua negeri, kata pengusaha hotel, ejen pelancongan

Mereka berkata membenarkan pelancongan tempatan hanya untuk negeri Fasa 2 PPN tidak memberi kesan besar.

Pemain industri pelancongan berkata kesan besar hanya akan dilihat selepas orang ramai dibenarkan merentasi sempadan negeri.
PETALING JAYA:
Pengusaha hotel dan ejen pelancongan menggesa aktiviti pelancongan tempatan dibuka semula di semua negeri susulan pengumuman kerajaan bahawa hotel dan inap desa boleh beroperasi di negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengarah Eksekutif Persatuan Pengusaha Hotel Malaysia, Shaharuddin M Saaid memberitahu FMT, pengumuman kerajaan itu tidak akan memberi kesan bermakna untuk masa terdekat kerana hotel di kawasan pelancongan seperti Kuala Lumpur dan Selangor tidak boleh menerima pengunjung.

“Jika kakitangan hotel telah divaksin dan pengunjung juga divaksin, sepatutnya tiada masalah di mana saja lokasi hotel berkenaan.

“Bagi negeri yang kini di Fasa 2, kebanyakannya kecil dan tidak banyak tarikan untuk mereka yang tinggal di situ, jadi kesannya tidak akan dirasai,” katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong, berkata sektor pelancongan sekalipun di Fasa 1 patut dibenarkan beroperasi sekiranya pekerja telah menerima suntikan vaksin diperlukan.

“Ini permulaan baik, namun kesannya hanya akan dapat dilihat apabila orang ramai boleh merentasi sempadan negeri semula.”

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia, Emmy Suraya Hussein, pula berkata walaupun keputusan kerajaan hari ini bukan satu kemajuan besar, ia tetap lebih baik berbanding sekadar menggunakan hotel sebagai pusat kuarantin.

“Ini memang akan melegakan pengusaha hotel, memang langkah awal yang positif.

“Cuma buat masa ini tidak tahulah bila Kuala Lumpur dan Selangor akan memasuki Fasa 2. Nampaknya lama lagi.

“Sehingga penduduk Lembah Klang dapat mengembara ke negeri lain, kesan positifnya tidak akan jelas kelihatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.