Kenapa siasat pesuruhjaya kami, soal SUHAKAM

Kenapa siasat pesuruhjaya kami, soal SUHAKAM

SUHAKAM berkata ia dimandatkan untuk melaksanakan kuasanya, termasuk memantau keadaan hak asasi manusia di negara ini.

SUHAKAM kecewa dengan siasatan polis terhadap pesuruhjayanya.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) kecewa dengan tindakan polis memanggil pesuruhjayanya untuk siasatan sedangkan mereka hanya melaksanakan tugas bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999.

Suruhanjaya itu berkata, ia dimandatkan bawah akta itu untuk melaksanakan mana-mana atau keseluruhan kuasanya, termasuk memantau keadaan hak asasi manusia di negara ini.

“Kehadiran SUHAKAM di perhimpunan Keluar dan #Lawan pada 31 Julai lalu seiring dengan fungsinya iaitu untuk memantau perhimpunan awam,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sejak pembentukannya, pesuruhjaya dan pegawainya tidak pernah dipanggil polis untuk siasatan ketika memantau sebarang acara.

SUHAKAM berkata, siasatan terhadap pesuruhjayanya dan pejuang hak asasi lain termasuk wakil Majlis Peguam Malaysia kerana memantau perhimpunan aman adalah tindakan regresif yang bertentangan dengan semangat Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pembela Hak Asasi Manusia.

Katanya, kebebasan berpendapat adalah hak setiap rakyat yang dilindungi mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Katanya, pihak berkuasa wajib menghormati, membenarkan malah memudahkan perhimpunan yang diadakan secara aman supaya dilaksanakan dengan selamat dan lancar.

“SUHAKAM gembira dengan komitmen berterusan semua pembela hak asasi manusia di negara ini, atas ketahanan dan keazaman mereka melindungi prinsip hak asasi manusia pada setiap masa, tanpa mengira cabaran dihadapi,” katanya.

Menurutnya, sesiapa yang menyuarakan pandangan berhubung hak asasi manusia tidak patut bimbang menghadapi ugutan atau balasan, kerana suara rakyat mesti didengar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.