Tawaran Muhyiddin berupa sogokan terbuka orang tanpa keabsahan, kata Zahid

Tawaran Muhyiddin berupa sogokan terbuka orang tanpa keabsahan, kata Zahid

Zahid juga menyifatkan sebagai amat “tidak wajar” cubaan Muhyiddin merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan urusan pelantikan Perdana Menteri.

Presiden Umno, Zahid Hamidi berkata Umno menolak tawaran kerjasama rentas kepartian oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA :
Umno menolak tawaran Muhyiddin Yassin untuk memperolehi sokongan sebagai “sogokan terbuka daripada seorang yang sudah tiada keabsahan,” kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Umno tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan, apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya,” kata beliau.

Zahid juga menyifatkan amat “tidak wajar” cubaan Muhyiddin merampas kuasa Yang diPertuan Agong dalam menentukan urusan pelantikan Perdana Menteri.

“Umno menasihatkan agar rakyat dapat bertenang sehingga Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas dan tanggungjawab Perlembagaan baginda di bawah Perkara 40(2) untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dari kalangan Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Dalam sidang media hari ini, Muhyiddin menawarkan pelbagai insentif termasuk mengadakan pilihan raya umum selewat-lewatnya Julai depan, peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen serta melaksanakan beberapa pembaharuan demokrasi.

Tawaran itu dibuat Muhyiddin bagi memperolehi sokongan bagi memenangi undi percaya terhadapnya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.

Zahid merakamkan penghargaan setingginya kepada 15 Ahli Parlimen Umno yang setia dan istiqomah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela Institusi Raja dan Perlembagaan Negara.

Beliau secara sinis memberikan penghargaan kepada Muhyiddin kerana “secara terbuka akui sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Dengan pengakuan ini, maka Ahli Parlimen Pagoh (Muhyiddin) sudah tiada lagi keabsahan untuk menjalankan tugas-tugas selaku Perdana Menteri yang sah sebagaimana Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Selaku Ahli Parlimen yang berpegang kepada sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, Pagoh tidak wajar merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan urusan pelantikan Perdana Menteri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.