
Institusi itu menegaskan hak asasi manusia tidak seharusnya menjadi agenda sampingan dan kerajaan yang bakal memerintah perlu menunjukkan komitmen untuk menghormati maruah manusia dan kebebasan asasi seperti mana yang dinyatakan di bawah Perkara 5-13 Perlembagaan Persekutuan.
“Meskipun jelas bahawa perdana menteri dan Jemaah Menteri baharunya perlu memberi tumpuan kepada usaha menangani pandemik dan kesan buruknya terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat, hak asasi manusia perlu menjadi teras utama.
“Kerajaan seperti ini akan melaksanakan strategi tersusun untuk seboleh mungkin mempromosi, melindungi dan menyokong pendekatan hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai institusi hak asasi manusia kebangsaan SUHAKAM berkata, pihaknya komited untuk terus bekerjasama dengan kementerian dan Ahli Parlimen dengan mengemukakan syor, selari dengan mandat yang diberikan di bawah peruntukan undang-undangnya untuk menasihati kerajaan dalam isu hak asasi manusia.
Perkara 5-13 Perlembagaan Persekutuan berfungsi sebagai pemacu ke arah mencapai sasaran matlamat pembangunan lestari Malaysia dan seterusnya memulihkan harapan rakyat serta menyuburkan amalan demokrasi.
Satu pertemuan khas akan berlangsung membabitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan Raja-raja Melayu pada Jumaat ini bagi membincangkan isu calon perdana menteri.
Kerajaan Perikatan Nasional terbubar berikutan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri pada Isnin lalu.