Bertanggungjawab dalam perbelanjaan, Rafidah beritahu kerajaan ‘baharu’

Bertanggungjawab dalam perbelanjaan, Rafidah beritahu kerajaan ‘baharu’

Rakyat ada hak untuk mempersoal bagaimana kerajaan membelanjakan wang mereka, Rafidah ingatkan Putrajaya.

Rafidah Aziz berkata, tidak ada seorang pun yang akan mempersoalkan penggunaan harta pusaka atau harta diperoleh dengan cara yang betul, tetapi perlu bertanggungjawab apabila melibatkan wang rakyat.
PETALING JAYA:
Bekas menteri persekutuan Rafidah Aziz mendesak kerajaan “baharu’ pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya bertanggungjawab dan telus dalam mengurus negara khususnya membabitkan hal kewangan

Dalam hantaran di Facebook, Rafidah mengingatkan kerajaan bahawa setiap ringgit datang daripada pemegang taruh di Malaysia, sama ada rakyat atau entiti perniagaan yang membayar cukai, duti dan pelbagai yuran.

“Yang demikian, kita sebagai rakyat, berhak mengharapkan kerajaan, antara lain bersikap bijaksana dan berhati-hati dalam menggunakan dana awam di semua peringkat pentadbiran.

“(Kerajaan perlu) memastikan bahawa setiap perbelanjaan memanfaatkan rakyat, baik secara langsung atau tidak langsung; bertanggungjawab atas setiap perbelanjaan dan terbuka untuk diperiksa oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan Parlimen.

“Tidak ada seorang pun yang akan mempersoal penggunaan wang datuk nenek atau wang pusaka atau wang yang diperoleh dengan cara yang betul. Tetapi rakyat akan selalu mempersoalkan bagaimana membelanjakan wang mereka,” katanya.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, tidak ada wang yang tidak perlu dibelanjakan untuk acara yang “semberono” dan “untuk puji-pujian” kerana Putrajaya perlu mengurus dana awam dengan penuh integriti dan rasa bertanggungjawab.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk mengelak daripada membentangkan perbelanjaan kerajaan di Parlimen, sementara rakyat perlu mengetahui mengenai jutaan dan bilion ringgit yang telah dibelanjakan.

“Ini adalah pengurusan dan tadbir urus yang buruk dan tidak bertanggungjawab ketika semua catatan perbelanjaan itu tidak terbuka untuk diteliti.

“Diharapkan kerajaan yang disebut “baharu” akan menunjukkan sifat bertanggungjawab dan integriti dalam menguruskan negara kita, dan tidak terus melakukan perkara yang akhirnya akan merosakkan negara kita.

“Hanya ada sedikit perbezaan antara ‘menguruskan’ (running) negara, dan ‘merosakkan’ (ruining) negara,” beliau memberi amaran.

Kerajaan baharu menerima kecaman berikutan papan iklan “Selamat Datang” untuk perdana menteri yang dibayar oleh Pejabat Daerah Kuala Muda yang dilanda banjir di Kedah dan rombongan besar yang bersamanya dalam pesawat rasmi serta anggaran 50 kenderaan yang turut mengikuti konvoi rombongannya semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.