
PETALING JAYA: Istana Negara hari ini mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah menerima senarai Jemaah Menteri baharu daripada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Istana Negara memaklumkan pertemuan Ismail dengan Agong berlangsung selama satu jam 30 minit di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.
Pertemuan itu juga adalah kali kedua Ismail dengan Agong selepas dilantik sebagai perdana menteri ke-9.
“Usai sesi menghadap, Agong dan Permaisuri Agong telah berkenan mengurniakan santapan tengah hari kepada Perdana Menteri di Istana Abdulaziz,” kata Istana Negara di Facebooknya.
Terdahulu, kenderaan rasmi membawa perdana menteri keluar dari pekarangan Istana Abdulaziz pada 1.38 tengah hari.
Ismail tiba di Istana Abdulaziz pada 10.53 pagi tadi.