
Felo di Institut Penyelidikan Bait Al Amanah, Shahrill Sabarudin berkata, beliau tidak percaya akan ada banyak perubahan dalam permainan politik hanya kerana ramai pengundi baharu berusia bawah 21 tahun dan sering dianggap berbeza daripada pengundi lebih tua dari segi pandangan politik.
Katanya, sebahagian besar pengundi baharu didaftarkan secara automatik dan ini menunjukkan ramai, khususnya mereka yang layak mengundi pada pilihan raya umum (PRU) 2018, tidak ambil peduli mengenai proses pilihan raya.
“Mengapa pilihan raya negeri ini akan membuatkan mereka rasa teruja?” katanya.

“Yang lain sudah sebati bersama sistem nilai di mana mereka membesar dengan keadaan itu dan membayangkan bahawa mereka akan bertindak balas terhadap politik identiti dan ideologi.”
PRN Johor akan menjadi pilihan raya pertama sejak Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik diperkenalkan, yang akan menambah 5.8 juta pengundi di seluruh negara.
Shahrill berkata, pengundi baharu di Johor tidak diagihkan secara sama rata di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan lebih separuh daripada mereka hanya bertumpu di 13 kerusi kawasan bandar dan separa bandar yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Bagaimanapun katanya, kemasukan pengundi muda akan menjejaskan wacana politik dan akan mengakibatkan pergeseran dengan naratif etno-agama dan sentimental.
“Belia cenderung mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang isu-isu mendesak seperti alam sekitar, kemiskinan bandar, sosioekonomi, dasar pendidikan, perumahan dan pembaharuan yang perlu ditangani.
“Ini akan memberi tekanan kepada parti-parti politik untuk memberi jawapan lebih baik kepada nasib belia dan memberi tumpuan kepada penyampaian dasar yang lebih baik.”
Menurutnya, akan ada peralihan kepada domain digital dari segi cara parti mengadakan libat urus dengan pengundi.
Katanya, MUDA telah mengubah proses sumbangan politik menerusi pendanaan awam dalam talian.