Kes bunuh Nhaveen: Peguam masuk hospital, bicara ditangguh ke bulan depan

Kes bunuh Nhaveen: Peguam masuk hospital, bicara ditangguh ke bulan depan

Mahkamah Tinggi George Town diberitahu, peguam Ranjit Singh Dhillon tidak dapat menghadiri prosiding dua hari yang dijadualkan hari ini dan esok kerana sakit.

Mahkamah diberitahu bahawa Ranjit Singh Dhillon (kanan) dimasukkan ke hospital dan kini sedang cuti sakit. Bersamanya adalah peguam lain dalam pasukan pembelaan, Yagoo Subramaniam (tengah) dan Maanveer Singh Dhillon.
GEORGE TOWN:
Perbicaraan kes pembunuhan T Nhaveen ditangguhkan ke bulan depan berikutan peguam bela utama dalam kes tersebut dimasukkan ke hospital.

Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa peguam Ranjit Singh Dhillon tidak dapat menghadiri prosiding dua hari yang dijadualkan hari ini dan esok kerana sakit.

Mahkamah juga dimaklumkan bahawa dua saksi utama, T Previin dan D Karunagaran, adalah kontak rapat Covid-19 dan kini menjalani kuarantin di rumah.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Abdul Halim berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkembangan itu sebelum ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid kemudian mengosongkan dua tarikh itu dan berkata, perbicaraan akan diteruskan seperti yang dijadualkan sebelum ini pada 11 April selama lima hari.

Peguam Sukhindarpal Singh menjalankan arahan sebagai pemerhati bagi pihak Majlis Peguam, manakala dua lagi peguam bela, Yagoo Subramaniam dan Maanveer Singh Dhillon, tidak hadir.

Penangguhan hari ini adalah yang keempat bagi perbicaraan itu, yang bermula pada 4 Mei tahun lepas.

Kali pertama adalah pada Jun tahun lepas selepas Previin hilang dan kemudiannya mendakwa beliau bersembunyi kerana diganggu.

Kemudian pada 6 Ogos, mahkamah cuti setengah hari selepas peguam bela mendakwa terdapat banyak kes positif Covid-19 di firmanya.

Pada 5 Okt tahun yang sama, mahkamah mengosongkan seminggu lagi tarikh perbicaraan kerana Penjara Pulau Pinang, di mana tertuduh ditempatkan, sedang memberi vaksin kepada banduan.

J Ragesuthan, S Gokulan – kedua-duanya berusia 22 tahun – serta S Gopinaath, 30, dan dua yang lain didakwa atas pembunuhan Nhaveen.

Dua individu yang tidak dinamakan itu tergolong dalam kategori juvana ketika jenayah itu didakwa berlaku. Gopinaath didakwa pada Disember lepas, ketika perbicaraan sedang berjalan.

Keempat-empat tertuduh didakwa membunuh Nhaveen di sebuah taman di Jalan Bunga Raya pada 9 Jun 2017, antara 11 malam dan tengah malam.

Mereka turut didakwa melakukan serangan parah terhadap Previin berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor, antara 11 malam dan tengah malam, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.