Kemenangan besar BN di Johor akan cetus PRU15, kata penganalisis

Kemenangan besar BN di Johor akan cetus PRU15, kata penganalisis

Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata, gabungan diketuai Umno itu wajar mengambil peluang atas momentum baik yang dinikmatinya dengan menggesa pilihan raya umum diadakan jika ia meraih kemenangan di Johor.

BN perlu bertindak bagi mengambil kesempatan atas sentimen terkini, yang pasti akan lebih kuat lagi sekiranya gabungan itu menang besar di Johor, menurut penganalisis.
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) wajar mengambil kesempatan penuh atas “gelombang” popularitinya sekiranya meraih kemenangan besar di Johor dengan menggesa pilihan raya umum (PRU) awal diadakan, kata penganalisis politik.

Jeniri Amir, felo Majlis Profesor Negara berkata, memang masuk akal sekiranya BN bersiap sedia untuk PRU andai keputusan pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini memihak kepada gabungan itu.

Gabungan diketuai Umno itu meraih majoriti dua pertiga di Melaka lewat tahun lalu dan kemudian disusuli dengan satu lagi kemenangan besar GPS di Sarawak.

Kini, memandangkan esok merupakan hari mengundi untuk PRN Johor, kemenangan buat kali ketiga berturut-turut pasti memberikan gabungan itu keyakinan untuk meraih kejayaan sama di peringkat persekutuan.

Jeniri Amir.

Malah, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan turut lantang menyokong PRU diadakan sebelum penggal pentadbiran kerajaan sekarang dijadualkan berakhir pada pertengahan 2023.

“Menggesa pilihan raya awal pasti lebih baik untuk BN kerana tiada siapa dapat menjangka apakah yang akan berlaku kemudian,” katanya kepada FMT.

“Ia perlu bertindak bagi mengambil kesempatan atas sentimen terkini, yang pasti akan lebih kuat lagi sekiranya BN menang besar di Johor, selain mengambil kesempatan atas rasa tak puas hati segelintir pengundi terhadap Pakatan Harapan.”

Jeniri berkata, pilihan raya awal dalam keadaan seperti itu boleh membantu membawa kestabilan politik yang diperlukan sejak Langkah Sheraton pada 2020, walaupun beliau mengakui wujud pelbagai pandangan berbeza dalam Umno.

Antaranya Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang menuduh Mohamad cuba memberi tekanan terhadap Perdana Menteri supaya mengadakan pilihan raya awal.

“Kestabilan di peringkat persekutuan amat penting jika kita mahu menangani krisis kesihatan dan masalah ekonomi yang kini dihadapi. Kita tidak mampu berdepan ketaktentuan lagi.

“Mandat kuat untuk BN di Johor akan memberikan pengundi satu lagi faktor untuk dipertimbangkan dalam memilih kerajaan seterusnya,” katanya.

Tambahnya, rakyat telah melihat tiga kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan BN. Susulan itu BN pasti yakin bahawa ia cukup kuat dari segi keupayaannya untuk mewujudkan kestabilan politik.

PRN Johor berlangsung pada Sabtu ini dengan BN berdepan lebih banyak pencabar berbanding di Melaka dan Sarawak.

Selain PN dan PH yang masing-masing mengalami kekalahan teruk dalam dua PRN sebelum ini, parti MUDA, Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad dan Warisan juga bakal bertanding untuk kali pertama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.