
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dilaman sesawang Parlimen, dua soalan berkaitan penipuan pembelian dalam talian tersenarai sebagai 10 soalan utama pada sesi soal jawab hari ini dan akan dikemukakan oleh Su Keong Siong (PH-Kampar) dan Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan).
Su dijadual mengajukan soalan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung statistik kes penipuan pembelian dalam talian dalam tempoh 2019 hingga 2021 dan langkah kerajaan dalam membendung masalah berkenaan agar tidak menjejaskan kerancakan urus niaga bentuk baharu itu.
Sementara itu Dr Wan Azizah akan mengajukan soalan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berhubung jumlah kerugian terkini akibat aktiviti penipuan dalam talian dan media elektronik.
Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) pula akan meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan tindakan kerajaan dalam isu rumah terbengkalai yang semakin meningkat dan langkah penyelesaian dalam menangani masalah rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang terbengkalai.
Selesai sesi tersebut, persidangan akan bersambung dengan sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja melibatkan lapan kementerian dengan didahului oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.