
Bekas pegawai bank BSI Singapura Kevin Swampillai berkata, Leissner menolak pertanyaan BSI mengenai mengapa bayaran yang dibuat kepada dana Aabar Investments PJS milik Abu Dhabi, yang menjamin dua urus niaga bon 1MDB, dipindahkan kepada sebuah syarikat samaran luar pesisir, bukannya kepada dana itu sendiri.
“Anda mempunyai sebuah dana kerajaan di Timur Tengah yang akan mengadakan urus niaga, tetapi dalam kes ini, ia melibatkan sebuah syarikat samaran di Kepulauan British Virgin – itu sesuatu yang sangat luar biasa,” kata Swampillai kepada juri di Mahkamah Persekutuan, Brooklyn, New York dalam perbicaraan dakwaan konspirasi bersama antara Leissner dan bekas rakan sekerjanya di Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng.
Swampillai berkata, Low Taek Jho, atau Jho Low yang didakwa merupakan dalang skandal 1MDB, membawa perniagaan kepada BSI, termasuk akaun milik anak syarikat 1MDB dan Aabar yang dimiliki oleh kerajaan.
Menurutnya, BSI kemudiannya diminta mengadakan usaha sama antara Aabar dan syarikat samaran baharu yang berkait dengan urus niaga bon 1MDB yang pertama.
International Petroleum Investment Co milik kerajaan Abu Dhabi dan anak syarikatnya Aabar menyediakan jaminan untuk dua jamin yang ditaja jamin oleh Goldman untuk 1MDB.
Namun, sebelum urus niaga itu dimuktamadkan pada Mei 2012, Swampillai memberitahu juri bahawa dia dan rakan sekerja di BSI ingin tahu mengapa dana yang diperolehi Aabar sebagai fi untuk jaminan itu disalurkan kepada syarikat luar pesisir.
Dia memberitahu juri bahawa BSI menjemput Leissner dan Ng menghadiri satu mesyuarat pada April 2012 di ruang makan peribadi di restoran Taste Paradise, Singapura untuk menangani kebimbangan bank Switzerland itu.
Sewaktu pegawai bank BSI mengharapkan penjelasan daripada Goldman, Leissner sebaliknya memberitahu bahawa dia hanya mempunyai masa 20 minit kerana perlu menaiki penerbangan, kata Swampillai dalam keterangannya.
Leissner kemudiannya mengubah keadaan dengan dia pula yang bertanyakan soalannya sendiri kepada pegawai bank BSI, kata Swampillai.
“Ini menyebabkan semua di BSI terkejut,” katanya kepada juri.
“Tim Leissner pada dasarnya menolak soalan yang kami bangkitkan. Beliau pada asasnya berkata, ‘Penilaian wajar bukan tanggungjawab Goldman – BSI bertanggungjawab menjalankan penilaian wajarnya sendiri’.”
Swampillai berkata, Leissner kemudiannya beredar. Ng terus berada di situ tetapi tidak bercakap kepada Swampillai sebelum dia juga beredar.
Pendakwa raya mungkin berhujah bahawa sikap Ng berdiam diri mengesahkan percubaan Leissner untuk memperdayakan BSI.
Ng didakwa melakukan konspirasi dengan Leissner dan Low untuk menyelewengkan wang berjumlah berbilion dolar daripada dua urus niaga bon dan satu lagi yang menyusul selepas itu.
Pendakwa raya berkata, sebagai sebahagian daripada penipuan itu, Low yang kini dalam buruan, bersama-sama yang lain mewujudkan sebuah entiti Aabar palsu untuk mengalihkan dana.
Ia berkata, Low kemudiannya membayar berjuta-juta dolar kepada pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi sebagai sebahagian daripada skim itu manakala Ng pula menerima sekurang-kurangnya AS$35.1 juta.
Leissner mengaku salah dan bekerjasama dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) menentang Ng.
Swampillai memberitahu juri, dia sendiri telah terlibat dalam penipuan yang tidak berkaitan melibatkan 1MDB. Beliau berkata, pihak kawal selia Singapura mengenakan larangan kekal daripada industri ke atasnya tetapi dia tidak dikenakan dakwaan jenayah.