Ismail akui kerajaan sukar kawal harga makanan di bazar Ramadan

Ismail akui kerajaan sukar kawal harga makanan di bazar Ramadan

Perdana menteri menyerahkan kepada KPDNHEP untuk memantau harga makanan supaya rakyat tidak ditekan dengan harga yang melampau.

Ismail Sabri Yaakob berkata, agak sukar untuk kerajaan mengawal harga makanan bermasak kerana ia bukan barangan kawalan.
PETALING JAYA:
Kerajaan mengakui sukar untuk mengawal harga makanan yang dijual di bazar Ramadan kerana ia bukan dalam kategori barangan kawalan kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kerajaan pada dasarnya hanya mampu mengawal harga barang kawalan seperti ayam, telur dan minyak masak.

“Agak sukar untuk kita kawal harga makanan bermasak, namun kalau harga ayam kita boleh kawal.

“Saya difahamkan tiada garis panduan bagi kawalan harga makanan bermasak, namun saya minta peniaga supaya tidak meletakkan harga yang melampau,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Jelasnya lagi, kerajaan bagaimanapun menyerahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memantau harga makanan itu supaya rakyat tidak ditekan dengan harga yang melampau.

Menerusi tinjauan yang dilakukan FMT ke Bazar Ramadan TTDI, Kuala Lumpur semalam, pembeli mengeluh harga makanan terlalu mahal sehingga sebungkus nasi mencecah hampir RM10 meskipun mengetahui kenaikan itu mungkin disebabkan peningkatan kos bahan mentah.

Sementara itu, mengenai ibu bapa yang turut membawa anak-anak ke kawasan sesak, Ismail mengingatkan mereka supaya berhati-hati dan mengelak melalui kawasan yang sesak.

“Kesihatan kita adalah tanggungjawab kita dan kesihatan keluarga kita juga adalah tanggungjawab kita.

“Saya lihat rata-rata pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dari segi pemakaian pelitup muka, namun dari segi penjarakan sosial agak rapat.

“Bagaimanapun, seperti saya sebutkan sebelum ini, penjarakan sosial tidak lagi menjadi kesalahan mengikut Akta 342,” kata Ismail.

Katanya lagi, walaupun kerajaan telah memberi kelonggaran SOP namun rakyat perlu bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.