Bantuan banjir Baling dipantau supaya tiada kelewatan, kata PM

Bantuan banjir Baling dipantau supaya tiada kelewatan, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata pemantauan itu bagi memastikan tidak berlaku kelewatan khususnya bantuan membabitkan pembaikan rumah.

Ismail Sabri Yaakob menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang memantau pelaksanaan bantuan yang diumumkan sebelum ini kepada mangsa banjir di Baling, Kedah terutamanya bantuan baik pulih rumah yang terjejas.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pemantauan itu bagi memastikan tidak berlaku kelewatan khususnya bantuan membabitkan pembaikan rumah.

“Selepas banjir berlaku petang itu (4 Julai), pagi esoknya (5 Julai) itu kita umum beri bantuan tunai kepada mereka (mangsa) tetapi yang penting adalah rumah, apabila roboh perlu disegerakan dari segi pembinaan baharu atau baik pulih rumah.

“Tempat tinggal itu yang paling penting selain bantuan kewangan,” katanya selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan pagi tadi.

Pada 5 Julai lepas, Ismail mengumumkan pemberian bantuan awal kepada kira-kira 1,490 mangsa banjir membabitkan 112 ketua isi rumah (KIR) yang melibatkan bantuan awal berbentuk wang ihsan RM1,000, bantuan barangan keperluan asas berjumlah RM2,500, bantuan barangan elektrik sebanyak RM500 serta pembaikan rumah.

Pada 4 Julai lepas, beberapa kawasan di Baling dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam menyebabkan 1,490 penduduk terjejas selain meragut tiga nyawa.

Terdahulu, Ismail menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.