LHDN tak boleh periksa akaun pelanggan firma guaman, kata Mahkamah Persekutuan

LHDN tak boleh periksa akaun pelanggan firma guaman, kata Mahkamah Persekutuan

Perkara yang berkaitan wang atau akaun pelanggan dilindungi kerahsiaan antara peguam dengan anak guamnya.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa maklumat akaun pelanggan adalah milik pelanggan dan bukan peguam cara.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan mengetepikan rayuan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak hak badan itu untuk menyemak dan mengaudit akaun pelanggan yang diselenggara oleh firma guaman.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata, LHDN gagal memahami bahawa maklumat dalam akaun sedemikian dilindungi oleh kerahsiaan antara peguam dengan anak guamnya.

“Maklumat akaun adalah kepunyaan anak guam kepada peguam cara terbabit, dan bukannya milik peguam cara,” kata Tengku Maimun.

Beliau yang mengetuai panel tujuh anggota yang sebulat suara menolak rayuan itu berkata, oleh itu, tiada keperluan untuk mengaudit akaun bagi menentukan kuantum cukai yang akan dikenakan terhadap sesebuah firma peguam cara.

Menurutnya, tiada apa-apa yang mewajarkan tindakan LHDN menyemak akaun berkenaan.

Tengku Maimun berkata, panel hakim berpendapat, Seksyen 142(5) Akta Cukai Pendapatan 1967 tidak mengatasi Seksyen 126 Akta Keterangan, yang jelas menyatakan wang milik anak guam dilindungi oleh kerahsiaan peguam cara dan anak guamnya.

“Oleh itu, tidak sepatutnya seorang peguam cara membocorkan kandungan akaun anak guamnya berdasarkan Seksyen 126.

“Keistimewaan itu adalah milik anak guam dan bukan peguam cara. Hanya anak guam boleh mengetepikan kerahsiaannya untuk membolehkan kandungan akaun diteliti LHDN,” tambahnya.

Bagaimanapun, Tengku Maimun berkata, pengecualian dalam Seksyen 126 membenarkan peguam melaporkan berlakunya jenayah atau sebarang aktiviti haram lain yang melibatkan anak guamnya kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, LHDN sepatutnya tidak dibenarkan meneliti akaun anak guam sesebuah firma guaman kerana ini bagi menghalang pihak berkuasa “sesuka hati” meneliti transaksi yang melibatkan anak guam firma itu.

Pertikaian undang-undang antara Badan Peguam Malaysia dan LHDN bermula pada 2016 apabila beberapa firma guaman mengadu bahawa LHDN telah membuat serbuan bagi menjalankan audit ke atas akaun anak guam mereka.

Firma-firma itu juga mendakwa, LHDN berkeras mahu melihat buku perakaunan dan rekod berkaitan akaun tersebut.

Pada 3 Nov 2016, Badan Peguam menulis surat bantahan kepada ketua pengarah LHDN dan menegaskan bahawa dokumen dan maklumat yang dicari itu dilindungi oleh keistimewaan kerahsiaan peguam cara dan anak guam.

Sebulan kemudian, lembaga itu menjawab mengatakan bahawa audit adalah perlu untuk memastikan “pematuhan cukai” oleh pembayar cukai.

LHDN menegaskan bahawa pengauditan itu tidak melanggar keistimewaan peguam cara-anak guam kerana Seksyen 142(5) Akta Cukai Pendapatan mengatasi peruntukan Akta Keterangan dan Akta Profesion Undang-undang.

Badan Peguam kemudian memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, memohon beberapa deklarasi mengenai isu itu.

Pada 2 April 2018, Mahkamah Tinggi dalam keputusannya memihak kepada Badan Peguam apabila mendapati Seksyen 142(5) tidak mengatasi Seksyen 126 Akta Keterangan.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Okt tahun lalu.

LHDN diwakili peguam kanan Hazlina Hussain manakala Anand Raj mewakili Badan Peguam.

Persatuan Undang-undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak menghadiri prosiding sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.