Pelaku ‘Love Scam’ kerja syif, ambil giliran tukar mesej dengan mangsa, kata aktivis

Pelaku ‘Love Scam’ kerja syif, ambil giliran tukar mesej dengan mangsa, kata aktivis

Aktivis berkata sindiket 'love scam' akan mengambil masa sehingga enam bulan untuk mendapatkan kepercayaan mangsa.

Pakar jenayah berkata mangsa tidak menyedari hakikat bahawa mereka telah terjerumus ke dalam rangkaian pembohongan yang kompleks.
PETALING JAYA:
Seorang wanita berusia 64 tahun yang kerugian RM5.29 juta baru-baru ini menjadi mangsa terbaharu ‘love scam’ yang dilakukan oleh sindiket terancang.

Polis pada Khamis lalu berkata, wanita terbabit membuat 120 pemindahan wang antara Januari dan Jun hingga simpanannya lesap sebelum membuat pinjaman dengan pemberi pinjaman wang.

Semua wang terbabit diberikan kepada seorang lelaki yang mendakwa berasal dari Amerika Syarikat dan kononnya memerlukan dana untuk memulakan perniagaan bekalan perubatan.

Menurut penyokong keselamatan siber, Aaron Mokhtar berkata, wanita itu sebenarnya tidak tahu bahawa ‘lelaki’ tersebut sebenarnya terdiri daripada beberapa orang lain yang bekerja secara syif dan mengambil giliran untuk bertukar mesej dengan mangsa.

Aaron Mokhtar.

Katanya, sindiket ‘love scam’ akan mengambil masa sehingga enam bulan untuk mendapatkan kepercayaan mangsa dengan menggunakan pelbagai kaedah, seperti sentiasa boleh dihubungi secara dalam talian, malah membelikan cincin perkahwinan.

“Mangsa merasakan mereka bercakap dengan orang yang sah dan rasa dipedulikan kerana dia sentiasa ada di situ,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pada satu ketika mereka bersedia untuk bertemu, akan timbul beberapa “kesukaran” di mana lelaki itu memerlukan “dana segera”.

Manakala menurut pakar jenayah, Mohammad Rahim Kamaluddin, mangsa tidak menyedari hakikatnya bahawa mereka telah terjerumus ke dalam rangkaian pembohongan yang kompleks.

Mohammad Rahim Kamaluddin.

“Sindiket akan membuka akaun media sosial palsu yang kononnya milik salah seorang ahli keluarga sebelum memperkenalkan mangsa kepada mereka. Ini membina satu lagi kepercayaan dalam hubungan mereka,” katanya.

Sebelum itu, sindiket terbabit akan mencari sasaran yang memenuhi kriteria tertentu, biasanya seseorang “profesional, berpendidikan, bersara, dan kesepian” untuk memastikan kebarangkalian kejayaan yang tinggi.

Rahim berkata, anak-anak yang mempunyai ibu bapa berusia perlu memeriksa senarai “rakan” mereka di media sosial untuk berwaspada terhadap akaun mencurigakan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata orang ramai harus mengelak daripada mempercayai orang yang tidak dikenali di internet dan mengelak daripada menjadi sebahagian daripada statistik ‘love scam’.

“Jangan mudah mempercayai orang yang tidak dikenali yang anda tidak pernah bertemu secara langsung. Walaupun teknologi adalah sebahagian daripada kehidupan kita, kita harus lebih berhati-hati apabila menggunakannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.